PETALING JAYA: Penyanyi rap dan komposer, Kmy Kmo meluahkan rasa kesal terhadap trend segelintir golongan muda hari ini yang semakin hilang adab dan sanggup bersikap kurang ajar semata-mata demi mengejar perhatian di media sosial.
Kmy atau Lukmanul Hakim, 37, menegaskan kemegahan yang diraih dengan cara mengetepikan nilai kesopanan tidak akan kekal lama.
“Mahu berjaya dalam hidup ini sebenarnya senang sahaja, iaitu dengan belajar menghormati orang lain. Kalau sikap kita kurang ajar atau tiada adab, kita hanya akan hidup dalam kebanggaan yang seketika sahaja.
“Hormat orang ini bukan bermaksud kamu di bawah tapak kaki orang. Tetapi, hormat orang yang lebih berumur dengan penuh adab dan akhlak ini adalah cerminan diri semasa tua nanti,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Tambah Kmy, tiada apa yang ruginya apabila seseorang itu memilih untuk sentiasa menjaga batas pergaulan dan menjaga adab dengan orang.
“Tidak rugi pun kalau menjadi orang yang berakhlak baik dan beradab. Tetapi, semestinya kamu akan rugi bila hidup tiada kedua-dua ini.
“Semua orang pernah melalui fasa muda atau melakukan kesilapan, dan kita semua tetap akan menuju ke fasa tua serta masanya untuk membersihkan diri,” ujarnya.
Untuk rekod, Kmy Kmo bersama Luca Sickta dan Salammusik telah berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL 40) menerusi lagu ‘Mana Ni’.










