KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal, Adzrin Adzhar, mendedahkan pernah menyuarakan hasrat untuk menyertai program realiti nyanyian, Gegar Vaganza (GV), namun menerima jawapan yang tidak memihak kepadanya daripada komposer dan maestro terkemuka tanah air, Datuk Ramli Ms atau Tok Ram.
Bagaimanapun, Adzrin berkata, dia tidak pernah berkecil hati dengan penjelasan yang diberikan kerana memahami hakikat industri hiburan yang bukan sekadar menilai bakat, sebaliknya turut mengambil kira aspek komersial dan nilai pemasaran seseorang artis.
“Satu nak kongsikan, sebelum ini saya pernah luahkan hasrat kepada Tok Ram, ‘Tok Ram, saya nak masuk GV.’ Kemudian dia menjawab, ‘Tak. Kau kena faham, tak ada siapa nak tengok kau dekat TV.’
“Saya menerimanya kerana mungkin saya melihat perkara itu daripada sudut kedudukan saya sebagai seorang tenaga pengajar. Apabila kita menerangkan sesuatu, kita benar-benar berharap pelajar memahami apa yang disampaikan. Jadi apabila Tok Ram menerangkan kepada saya, saya faham,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Adzrin, penjelasan yang diberikan Tok Ram disifatkannya sebagai sesuatu yang logik memandangkan setiap program televisyen perlu memenuhi kehendak penaja yang mahukan pulangan daripada pelaburan mereka.
“Dia juga mengatakan sesuatu yang sangat logik. Seperti yang semua orang tahu, setiap rancangan mempunyai penaja. Jadi kita perlu memastikan penaja-penaja ini mendapat pulangan pemasaran yang sewajarnya. Pada masa yang sama, artis yang ditampilkan mestilah mempunyai peminat yang kuat.
“Semua perkara ini perlu dilihat secara logik. Ini ialah dunia hiburan, showbiz atau show business. Jadi kita kena faham perkara itu. Sebab itulah saya menerima hakikat tersebut,” katanya.
Mengulas sama ada dia tersinggung dengan penolakan tersebut, Adzrin menegaskan perkara itu tidak pernah menjejaskan hubungan baiknya dengan Tok Ram.
“Tak terasa hati. Sebab saya dengan Tok Ram agak rapat juga,”katanya.










