Griya: Rahsia Seorang Lelaki taruhan thriller psikologi penuh misteri - Utusan Malaysia

Griya: Rahsia Seorang Lelaki taruhan thriller psikologi penuh misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Platform penstriman iQIYI Malaysia mempertaruhkan drama bersiri terbaharu, Griya: Rahsia Seorang Lelaki, yang menggabungkan elemen thriller psikologi, misteri dan konflik emosi menerusi jalan cerita penuh suspen.

Terbitan Skop Productions, drama yang mula ditayangkan pada 9 Mei lalu itu mengisahkan Sophia lakonan Chacha Maembong, seorang peguam yang bekerjasama dengan Detektif Liana (Scha Alyahya) untuk menyiasat Razman (Nazim Othman), seorang duda kaya yang disyaki membunuh dua bekas isterinya.

Demi membongkar kebenaran, Sophia sanggup menjalinkan hubungan cinta palsu dengan Razman. Namun, keadaan menjadi semakin rumit apabila dia mula menyimpan perasaan terhadap lelaki yang sedang disiasat, sekali gus meletakkannya dalam dilema antara menegakkan keadilan atau melindungi seseorang yang mungkin berbahaya.

Pengarah Urusan iQIYI Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dinesh Ratnam berkata, pemilihan naskhah tersebut selari dengan usaha platform itu untuk memenuhi kehendak penonton yang kini semakin cenderung kepada kandungan yang segar dan dekat dengan realiti semasa.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau trend tontonan, perbualan di media sosial serta perubahan citarasa penonton bagi memastikan setiap kandungan yang dibawakan mampu memberikan pengalaman hiburan yang berkualiti.

“Pada masa sama, kami juga bekerjasama rapat dengan penerbit tempatan untuk menghasilkan kandungan yang lebih moden, segar dan dekat dengan realiti masyarakat hari ini, sambil mengekalkan nilai hiburan yang kuat,” katanya.

Menurut Dinesh, Griya: Rahsia Seorang Lelaki bukan sekadar memaparkan kisah cinta atau rumah tangga biasa, sebaliknya menawarkan permainan psikologi yang sarat dengan misteri dan rahsia.

“Drama ini menawarkan gabungan thriller, misteri dan konflik emosi yang jarang diterokai dalam drama tempatan. Setiap episod akan membuatkan penonton terus tertanya-tanya tentang siapa Razman sebenarnya dan apakah kebenaran yang tersembunyi di sebalik ‘Griya’.

“Drama ini disasarkan kepada penonton dewasa muda dan peminat cerita berintensiti tinggi, khususnya mereka yang gemarkan thriller, misteri dan drama hubungan yang kompleks.

“Mesej utamanya adalah tentang kepercayaan, manipulasi dan bagaimana seseorang yang kelihatan sempurna boleh menyimpan sisi gelap yang tidak dijangka,” katanya.

Sementara itu, Penerbit dan Pengarah Urusan Skop Productions, Shamin Yusof berkata, drama tersebut menjadi satu percubaan baharu buat syarikat penerbitan itu dalam meneroka genre yang lebih gelap dan berteraskan pembangunan karakter.

“Di Skop Productions, kami sentiasa mahu mencuba sesuatu yang luar biasa. Menerusi drama ini, kami lari sedikit daripada kebiasaan genre aksi, drama dan seram.

“Kami bawakan sebuah naskhah thriller yang lebih gelap serta memberi fokus kepada karakter. Kali ini kita bermain dengan psikologi, emosi dan persoalan moral.

“Kami mahu menghidangkan sesuatu yang segar dan berbeza untuk penonton Malaysia, sebuah cerita yang akan membuatkan penonton berfikir tentang erti cinta dan kesetiaan,” katanya.

Menurut Shamin, sambutan yang diterima setakat ini cukup memberangsangkan apabila ramai penonton mengikuti perkembangan jalan cerita yang penuh tanda tanya.

Katanya, selain persembahan pelakon yang meyakinkan, kekuatan utama drama tersebut terletak pada penceritaannya yang sentiasa membuatkan penonton tertanya-tanya tentang apa yang bakal berlaku seterusnya.

Mengulas mengenai cabaran pembikinan drama berkenaan, Shamin berkata, proses pembangunan naskhah merupakan antara fasa paling mencabar sepanjang penghasilan karya tersebut.

“Cabaran terbesar adalah ketika proses pembangunan cerita kerana kami perlu memastikan terdapat cukup elemen yang mampu membuatkan penonton terus setia mengikuti drama ini hingga ke episod terakhir.

“Selain itu, pemilihan pelakon juga agak mencabar kerana kami perlu memastikan setiap pelakon mampu mengembangkan watak masing-masing dan benar-benar menyatu dengan karakter yang dibawakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengarah drama berkenaan, Faisal Ishak berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh para pelakon banyak membantu dalam menghidupkan dunia dan emosi yang ingin dipaparkan menerusi naskhah tersebut.

Katanya, pelbagai sesi perbincangan dilakukan bersama para pelakon bagi memastikan setiap watak dapat diterjemahkan dengan sebaik mungkin di layar.

“Sebagai pengarah, saya sentiasa percaya sesebuah cerita hanya akan hidup apabila para pelakonnya percaya kepada dunia yang kita bina.

“Harapan saya untuk drama ini adalah supaya penonton benar-benar dapat merasai sesuatu. Bagi saya, cerita yang meninggalkan kesan mendalam adalah cerita yang membuatkan penonton berasa dekat dengan apa yang dipaparkan.

“Saya juga berharap drama ini dapat menunjukkan bahawa karya tempatan mempunyai identiti dan suara tersendiri yang mampu bergerak lebih jauh. Platform mungkin berubah dan cara orang menonton juga berubah, tetapi cerita yang jujur akan sentiasa mencari penontonnya,” katanya.

Griya: Rahsia Seorang Lelaki kini memasuki minggu-minggu akhir tayangan dan boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi iQIYI. Penonton juga berpeluang mengikuti keseluruhan kisah penuh misteri itu menerusi tontonan maraton di platform berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN