BUKIT JALIL: Pelakon, Hisyam Hamid menafikan dakwaan seorang individu yang kononnya dia pernah mengunjungi kediaman aktres, Erysha Emyra di saat bapanya sedang sakit.
Menurut Hisyam, dakwaan tersebut muncul selepas mereka digandingkan bersama menerusi drama Ikatan Terlarang, selain mengakui dirinya tidak pernah terpalit dengan sebarang kontroversi yang bersifat keterlaluan sebegitu.
“Bagi saya, gosip itu tidak normal untuk saya sebab saya tidak pernah lagi dapat gosip sebegitu. Tapi mungkin sebab Erysha datang dari satu generasi yang berbeza, yang lebih kepada media sosial.
“Mungkin juga sebab kami tengah bekerjasama, jadi saya pun terjebak sekali. Tapi itu bukan sesuatu yang membimbangkan saya. Saya menafikan dakwaan tersebut,” katanya.
Hisyam berkata demikian ketika ditemui di program MeleTOP di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengakui kecewa dengan tuduhan sedemikian, pelakon kelahiran Singapura itu memilih untuk tidak mengambil pusing biarpun mampu menyiasatnya lebih mendalam.
“Sudah tentu saya rasa kecewa, marah dan saya tidak tahu apa tujuan individu tersebut untuk menjatuhkan dia atau saya. Kalau ikutkan saya boleh sahaja, minta pihak lain siasat individu disebalik akaun tersebut.
“Saya tidak jangka akan terlibat dalam kontroversi tapi macam saya cakap itu bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan. Terus maju ke hadapan dan akaun tersebut pun sudah tiada,” jelasnya.
Bagaimanapum, Hisyam mengakui kontroversi tidak berasas itu memberi kesan terhadap Erysha yang ketika itu turut berdepan situasi sukar apabila arwah bapanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Sudah tentu perkara itu memberi kesan kepada Erysha sebab masa benda itu jadi, saya di Singapura dan ayah dia pula di ICU. Jadi sudah tentu ia memberi kesan.
“Banyak perkara yang dia sedang lalui. Jadi, bagi saya biarkan saja gosip itu sebab lama kelamaan akan hilang sendiri,” kongsinya.
Hisyam turut menegaskan hubungannya dengan Erysha tidak lebih dari sekadar rakan gandingan dalam drama, malah menolak dakwaan kononnya wujud cinta lokasi.
“Kami berkawan di dalam dan luar set juga. Mungkin orang nampak seperti saya seorang saja yang hadiri kenduri tahlil arwah bapanya tapi sebenarnya ramai saja yang datang.
“Perbezaanya kami sekarang tengah bekerjsama dekat set yang sama, jadi mungkin itu menjadi lebih menarik perhatian. Tapi tiada cinta, cinta sayang sebagai kawan dan teman sekerja sahaja,” ujarnya.










