KUALA LUMPUR: Ratu Rock negara, Ella, mengakui pemilihan diva terkenal, Ziana Zain, sebagai artis jemputan istimewa untuk Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos depan bukanlah dibuat secara kebetulan, sebaliknya mempunyai sebab tersendiri.
Menurut Ella, pemilihan Ziana dibuat hasil perbincangan bersama pasukan penganjur selain mengambil kira hubungan baik serta rasa hormat yang telah lama terjalin antara mereka.
“Kebiasaannya kami akan berbincang secara berpasukan untuk menentukan siapa yang sesuai dijemput. Tetapi mereka tetap akan bertanya kepada saya siapakah artis yang saya minati untuk berkongsi pentas.
“Bagi saya, Ziana bukan sahaja seorang penyanyi hebat, malah kami pernah bekerjasama sebelum ini. Saya juga merupakan salah seorang peminatnya dan kami berkawan baik.
“Jadi saya rasa gabungan ini akan memberikan sesuatu yang istimewa kepada penonton yang hadir nanti,” katanya.
Ella berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman perubahan tarikh dan lokasi konsert berkenaan baru-baru ini di ibu negara.
Penyanyi lagu Pengemis Cinta itu turut menjelaskan bahawa konsert berkenaan bakal menjadi platform terbaik untuk meraikan dua figura wanita yang mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik tempatan.
Ditanya sama ada pemilihan Ziana dibuat kerana sebelum ini beliau lebih banyak berduet dengan penyanyi lelaki, Ella tidak menafikannya.
“Boleh dikatakan begitu juga. Sebelum ini saya banyak berkongsi pentas dengan penyanyi lelaki dan sudah melalui pengalaman itu. Kali ini saya mahu tampil dengan kelainan.
“Kami mahu meraikan semangat wanita. Saya belum pernah benar-benar berkongsi pentas dengan sahabat wanita dalam skala yang besar seperti ini. Jadi saya rasa sudah sampai masanya untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan menarik,” ujarnya.
Sementara itu, suami merangkap pengurus Ella, Kapten Azhar Ghazali, menyifatkan kehadiran Ziana sebagai satu nilai tambah yang mampu memberikan pengalaman baharu kepada peminat.
“Sebelum ini kami pernah membuat kejutan dengan menampilkan Dayang Nurfaizah di Singapura. Kali ini pula kami memilih Ziana Zain kerana beliau merupakan satu nama yang cukup besar dalam industri.
“Apabila dua nama besar seperti Ella dan Ziana Zain digabungkan dalam satu pentas, sudah tentu akan wujud sesuatu yang unik. Kami mahu memberikan kelainan kepada penonton selain menghargai karya-karya kedua-dua penyanyi pada malam tersebut,” katanya.
Menurut Azhar lagi, Ziana turut menunjukkan reaksi positif apabila menerima pelawaan tersebut.
“Beliau sangat bersemangat dan pada masa yang sama agak terkejut kerana menjadi sebahagian daripada konsert ini. Kami melihatnya sebagai satu peluang untuk mencipta sejarah bersama dan menghadiahkan momen yang sukar dilupakan kepada para peminat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ella tidak menolak kemungkinan untuk menyampaikan lagu-lagu popular milik Ziana sepanjang konsert itu nanti.
“Kenapa tidak? Mungkin akan ada lagu-lagu Ziana yang saya nyanyikan. Saya sendiri sukakan lagu-lagunya dan rasanya ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diterokai bersama penonton.
“Malah mungkin juga akan ada beberapa segmen duet yang istimewa kerana lagu-lagu Ziana sememangnya sedap untuk dipersembahkan di atas pentas,” katanya.
Terdahulu, konsert yang dijadual berlangsung pada 25 Julai depan kini dipindahkan ke Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos ini.
Perubahan tarikh dan lokasi itu dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh pihak penganjur bersama pasukan produksi dan Ella bagi memastikan peminat menikmati pengalaman konsert yang lebih selesa dan imersif.
Selain Ziana, konsert ini turut bakal menampilkan penyanyi bertaraf legenda, Datuk Ramli Sarip.










