KETIKA filem Konspirasi baru seminggu bernafas di panggung dan para pelakon giat membuat promosi, tiba-tiba penerbit, Elepfilm Entertainment mengesahkan bahawa filem yang mengangkat perjuangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah ditarik semula penayangan di Malaysia.
Menerusi dua kenyataan berasingan, penerbit menjelaskan tindakan itu dilakukan selepas ‘mempertimbangkan situasi semasa’ yang tidak dijelaskan dengan terperinci.
Dalam kenyataan yang sama, Elepfilm Entertainment menafikan tindakan itu dilakukan bagi tujuan promosi juga spekulasi kononnya ada pihak yang mempengaruhi keputusan berkenaan walaupun filem itu sudah pun melalui proses tapisan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Malah, ketika malam gala filem tersebut yang gilang gemilang di IOI City Mall Putrajaya, pengarahnya, Ghaz Abu Bakar menjelaskan filem itu mendapat kerjasama baik daripada pihak SPRM sendiri.
Konspirasi bukanlah menjadi filem pertama yang ditarik balik penayangannya oleh penerbit. Pada 1994, Datuk Ahmad Fauzee terpaksa menarik semula Panggilan Pulau selepas dua hari penayangan kerana berdepan isu hak cipta membabitkan Malay Film Productions dan Shaw Brothers.
Penerbitan Panggilan Pulau oleh Ahmad Fauzee merupakan filem tribute kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pertama kali menghasilkan filem itu pada 1954.
Walaupun Panggilan Pulau menjadi filem pertama ditarik semula penayangan, namun isunya jelas. Bagaimanapun, penarikan semula Konspirasi masih lagi menjadi tanda tanya.
Menurut pengalaman penerbit dan pengarah, Datuk Aziz M. Osman, 64, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan penarikan semula karya berdasarkan kepada pengalamannya sebagai penggiat seni.
“Saya tak tahulah apa di sebalik isu Konspirasi ini, tetapi saya pernah melalui pengalaman yang lebih kurang sama membabitkan sebuah drama. Selepas kejayaan filem Leftenan Adnan, saya diminta kerjasama dengan MinDef (Kementerian Pertahanan) untuk menerbitkan drama ketenteraan berjudul Insurgensi pada 2002 tentang pertempuran tentera kita dan komunis sepanjang 26 episod.
“Saya lakukan kajian hingga berjumpa Rashid Maidin sendiri di Rejimen Ke-10, Thailand untuk tahu kelicikan komunis dan bagaimana tentera kita tumpaskan mereka.
“Drama itu pun siap 26 episod. Tapi apabila mula ditayangkan di RTM, mereka hanya siarkan sampai episod 12 sahaja dan tidak disambung atas bantahan pihak atasan yang merasakan ada info atau rahsia yang dipaparkan dalam drama itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Aziz bagaimanapun berpendapat mungkin sahaja terdapat isu sensitif membabitkan pihak SPRM yang tidak sengaja dipaparkan dalam filem tersebut.
“Penerbit sendiri telah membuat permohonan untuk menarik balik. Jadi hanya penerbit saja tahu apa yang berlaku. Saya tak buat andaian apa-apa, cuma benda apa yang berlaku itu, pernah berlaku pada diri saya untuk drama Insurgensi.
“Cuma saya hairan dan bersimpati jika penerbit terpaksa berhadapan karenah birokrasi. Juga saya lihat proses pembikinan filem oleh Ghaz Abu Bakar dan rasa dia seorang pengarah yang teliti. Sayang hal ini terjadi kerana saya sudah ke panggung 1 Utama untuk tonton, tiba-tiba filem sudah tiada,” katanya.

Tidak semua salah penerbit
Dalam pada itu, pernah berhadapan dengan situasi di mana filem yang diterbitkan berdepan kesukaran sehingga ditangguhkan, penerbit dan pelakon, Datuk Aida Othman percaya apa yang dilakukan Elepfilm Entertainment adalah jalan yang terbaik walaupun tidak dijelaskan kepada umum.
“Mereka adalah pihak yang memegang risiko paling besar dalam sesebuah filem dari pembangunan idea, pembiayaan, produksi, pemasaran sehinggalah ke tayangan, semua mempunyai implikasi kewangan dan reputasi yang besar.
“Dalam industri filem, keputusan seperti ini biasanya melibatkan pelbagai faktor termasuk strategi perniagaan, perjanjian pengedaran, prestasi tayangan awal, serta kepentingan pelabur dan pihak-pihak yang terlibat. Apa yang kelihatan mudah dari luar sebenarnya sering melibatkan perbincangan yang sangat kompleks di belakang tabir.
“Apa yang saya perhatikan, apabila timbul sesuatu isu dalam industri, ramai yang cepat membuat persepsi tanpa mengetahui keseluruhan cerita di sebalik tabir. Tidak semua perkara boleh dikongsikan kepada umum,” katanya.
Mengulas lanjut, syarikatnya pernah menghadapi masalah berkaitan pelaburan atau pembiayaan yang menjadi sebahagian daripada cabaran sebagai penerbit membuatkan syarikatnya berdepan kritikan.
“Apa yang ramai tidak sedar ialah, dalam industri ini, kerugian bukan hanya melibatkan wang. Kadang-kadang kerosakan terhadap reputasi jauh lebih mahal daripada kerugian kewangan.
“Apabila sesuatu projek tertangguh atau berdepan masalah, nama penerbit akan dikaitkan terlebih dahulu walaupun punca sebenar mungkin datang daripada faktor lain yang tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Hakikatnya, bukan mudah untuk menjadi kaya sebagai penerbit. Sebahagian besar terus bertahan bukan kerana mengejar kemewahan, tetapi kerana minat terhadap seni, tanggungjawab kepada pasukan.
“Sebab itu saya berpendapat bahawa sebelum kita menghukum atau membuat andaian terhadap sesuatu keputusan, kita perlu cuba memahami bahawa setiap keputusan yang dibuat pasti mempunyai sebab yang tidak semestinya diketahui oleh orang luar,” katanya.










