Berlakon salah, tidak berlakon pun salah - Aaron Aziz - Utusan Malaysia

Berlakon salah, tidak berlakon pun salah – Aaron Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Aaron Aziz, tidak melihat kemunculannya yang kerap di kaca televisyen mampu menjejaskan kerjayanya memandangkan dia menganggap setiap tawaran yang diterima sebagai rezeki yang tidak wajar ditolak.

Menurut Aaron, dia sendiri tidak pernah merancang jumlah karya yang ditayangkan setiap tahun kerana jadual siaran sesebuah drama atau filem berada di luar kawalannya.

“Sebelum ini, drama yang sedang ditayangkan ialah Dendam Seorang Isteri. Sebelum itu, ada satu lagi drama tetapi saya sudah tidak begitu ingat tajuknya. Namun, setiap tahun pasti ada sekurang-kurangnya sebuah drama atau filem lakonan saya yang ditayangkan.

“Sebenarnya apabila kami menjalani penggambaran, kami tidak tahu bila karya tersebut akan ditayangkan. Begitu juga dengan filem.

“Kami hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon, tetapi tarikh tayangannya belum tentu lagi. Contohnya filem Banduan, saya sendiri tidak menyangka ia akan ditayangkan pada tahun yang sama selepas penggambaran selesai.

“Jadi apabila tawaran datang dan ada rezeki, saya rasa tidak sepatutnya kita menolaknya. Jangan terlalu sombong atau terlalu memilih. Tambahan pula, watak-watak yang ditawarkan kepada saya kebanyakannya sangat menarik,”katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa kemunculan terlalu kerap di televisyen boleh menjejaskan jualan tiket filem, Aaron berkata perkara tersebut merupakan perdebatan yang tidak pernah berkesudahan dalam industri.

“Perkara ini sudah lama diperkatakan. Kadang-kadang apabila kita tidak muncul di kaca TV, orang akan bertanya sama ada kita masih laku atau masih berlakon. Tetapi apabila kerap muncul pula, ada yang mengatakan wajah kita terlalu kerap dipaparkan.

“Jadi, berlakon salah, tidak berlakon pun salah. Hakikatnya, semua perkara sudah ditentukan oleh Allah SWT. Sama ada sesebuah karya ditayangkan berturut-turut atau tidak, itu bukan dalam kawalan saya.

“Apa yang penting, saya terus bekerja dan memberikan yang terbaik. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aaron mengakui tidak mempunyai sebarang kecenderungan khusus sama ada berlakon untuk platform penstriman (OTT) atau televisyen konvensional.

“Kita sekarang berada dalam era pelbagai platform. Hampir semua orang memiliki telefon pintar atau komputer riba untuk menonton kandungan. Jadi, kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada televisyen seperti dahulu.

“Malah, kebanyakan stesen televisyen juga sudah mempunyai platform digital sendiri. Bagi saya, tiada masalah sama ada sesuatu projek itu diterbitkan untuk OTT atau TV kerana yang penting ialah karya tersebut dapat sampai kepada penonton,” katanya.

Bercakap mengenai gandingannya bersama pelakon Nadiya Nissa dalam drama terbitan Viu, Bidadari Tanpa Syurga, Aaron menyifatkan kerjasama itu berjalan dengan lancar memandangkan dia sudah lama mengenali kredibiliti pelakon berkenaan.

“Sudah tentu saya sangat yakin kerana bekerja dengan Nadiya sememangnya tidak mempunyai masalah. Saya tahu kualiti lakonannya sangat cemerlang.

“Skrip yang diberikan pula sangat berat dan mencabar. Jika diukur dari segi intensiti emosi, episod pertama yang ditonton penonton itu mungkin baru sekitar 30 peratus daripada keseluruhan perjalanan cerita. Episod-episod seterusnya jauh lebih berat.

“Saya sendiri kagum kerana kami berjaya menyiapkan keseluruhan projek ini dalam masa sebulan sahaja. Terima kasih kepada semua pelakon dan kru yang banyak membantu sepanjang proses penggambaran,” katanya.

Ditanya sama ada watak Azlan yang dibawakannya boleh dianggap sebagai seorang lelaki narsistik, Aaron memilih untuk tidak memberikan jawapan yang terlalu terperinci.

Pada masa sama, Aaron berharap penonton dapat mengambil iktibar daripada watak Azlan dan menjadikannya sebagai pengajaran dalam kehidupan berumah tangga.

“Watak ini bukan untuk dijadikan contoh, tetapi sebagai teladan tentang perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang suami. Jangan sesekali menggunakan agama atau kuasa sebagai suami untuk merendahkan maruah isteri semata-mata mahu mendapatkan ketaatan.

“Hubungan suami isteri perlu dibina atas dasar tolak ansur, hormat-menghormati dan kasih sayang. Kita perlu menjaga hati pasangan.

“Saya sendiri kadangkala terlalu sibuk bekerja, sebab itulah saya selalu mengatakan isteri saya merupakan pengurus terbaik dalam hidup saya. Dia tahu bila saya keletihan dan akan mengingatkan saya supaya meluangkan masa bersama keluarga.

“Tanggungjawab seorang suami bukan sekadar menyediakan nafkah zahir dan batin. Komunikasi, perhatian dan kesediaan untuk mendengar juga sangat penting.

“Kadang-kadang, kita hanya perlu duduk dan mendengar masalah isteri. Itu sahaja pun sudah cukup besar maknanya dalam sesebuah perkahwinan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN