Azza Zawari rugi RM40,000, scammer licik tipu kod QR  - Utusan Malaysia

Azza Zawari rugi RM40,000, scammer licik tipu kod QR 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GARA-GARA mempercayai pekerjanya, penyanyi dan pelakon, Azza Zawari menjadi mangsa penipuan bayaran kek yang mengakibatkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit pada penghujung 2024.

Tindakan Azza mencanang semula kisah penipuan bayaran kek yang dilakukan seorang kakitangannya bukan untuk mengaibkan atau memalukan individu terbabit.

Sebaliknya, tindakan tersebut dilakukan untuk memberi kesedaran mengenai langkah yang harus diambil mangsa jika berlaku penipuan sama.

“Ramai kawan saya yang berhadapan penipuan sama. Saya sarankan agar buat laporan polis. Saya, bersama beberapa individu lain berjaya menangkap pelaku dan terus menyerahkannya kepada polis. Ia bukan tindakan sendirian.

“Jangan bermesyuarat atau ambil langkah sendiri. Tindakan itu belum tentu membantu mangsa di mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menceritakan semula kes tersebut, Azza memaklumkan pelaku bertindak licik dengan menipu kod imbasan bayaran kek dan perbuatan itu berpanjangan selama tiga bulan.

“Bayaran kek jualan saya tidak masuk ke akaun syarikat, sebaliknya masuk ke akaun Touch ‘n Go pelaku menerusi penipuan kod imbasan (QR).

“Awalnya dia beralasan tidak ingat nombor akaun bank syarikat, jadi dia gunakan nombor akaun Touch ‘n Go peribadinya sebagai transaksi bayaran. 

“Lama kelamaan saya dan suami menyedari banyak transaksi duit bayaran kek yang disonglap individu berkenaan, lebih RM40,000 jumlahnya.

“Selepas perkara itu terbongkar, kami memutuskan untuk mendapatkan dia, menggeledah telefon bimbitnya untuk mendapatkan bukti. Dari situ kami mendapat tahu dia menipu transaksi bayaran kek yang dibuat personal shopper kami,” katanya lagi.

Azza menegaskan tindakan  menangkap individu terbabit seperti dalam video yang dimuat naik di laman Threads bukan tindakan sendirian, sebaliknya mendapat kerjasama pihak berkuasa.

“Itu bukan tindakan sendiri sebaliknya bersama polis. Saya, bersama rakan-rakan tangkap dia kemudian baru kami serahkan dia kepada polis. Itu tindakan yang betul,” katanya lagi.

“Saya tidak memiliki bukti yang kukuh untuk mendakwa pelaku, malah kes saya dianggap sebagai kecuaian sendiri.

“Namun, pelaku mempunyai 16 kes jenayah penipuan lain, dan salah satu kes tersebut mempunyai bukti kukuh untuk mengheret dia ke muka pengadilan. Bukti cukup untuk polis menangkap beliau,” kongsinya.

Dalam pada itu Azza kecewa dengan undang-undang yang dikenakan terhadap penipu yang baginya belum cukup kuat untuk mengadili pelaku.

“Dia dipenjarakan selama 16 bulan bagi salah satu daripada 16 kes jenayah dilakukannya. Dia sudah pun dilepaskan selepas tolak cuti dan berkelakuan baik.

“Sebab itu saya nasihatkan, bila mahu mengambil pekerja, semak latar belakang individu tersebut,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN