TIDAK pernah sekalipun pelakon, Datuk Remy Ishak, menyangka kerjaya yang dibinanya selama 21 tahun akan membawanya ke sebuah titik hitam apabila dia menjadi mangsa perbuatan sihir akibat dengki oleh pihak tertentu.
Walaupun sudah mendapatkan rawatan alternatif, aktor itu tidak menafikan ia memberi tamparan hebat kepada mental dan juga personalitinya hari ini.
Mengimbau kembali detik itu, Remy atau Mohammad Zalimei bin Ishak, 44, tidak mengenal dirinya sendiri.
Bukan itu sahaja, dia juga perasan bahawa dirinya seperti mudah dibenci banyak orang membuatnya hilang keyakinan diri untuk bertemu khalayak ramai.
“Macam-macam terjadi, ada muntah darah dan rasa gelisah. Sampai satu masa saya tertanya-tanya kenapa semua orang macam benci dengan saya?
“Apa yang saya cakap sampai orang rasa tak suka, benci dan marah? Apa salah saya sampai macam itu sekali orang melihat saya.
“Kadang-kadang saya jadi takut mahu berjumpa dengan orang sebab nanti mereka fikir saya sombong. Pandangan negatif orang kepada saya terlalu tebal. Kadang nak berbual lidah saya tak boleh keluar, otak tak boleh fikir.
“Saya kata pada isteri, tak mengapa kita usaha berubat sendiri maksudnya mandi ais, jaga solat dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menganggap semua ini sebagai salah satu daripada fasa ujian, Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018 itu bagaimanapun faham bahawa industri hiburan juga tidak kebal daripada rasa iri dan benci.
Lebih-lebih lagi ia melibatkan strategi perniagaan dan juga populariti.
“Sebenarnya dari dahulu saya sudah berhati-hati kerana inilah perniagaan. Tapi orang buka kedai restoran sebelah pun boleh basi makanannya, inikan saya di mana ada ramai orang dengan industri yang meriah.
“Tapi saya selalu positif. Ada benda yang mungkin saya tak jaga di sisi Allah SWT, Allah mengizinkan perkara itu berlaku.
“Kalau saya jaga baik, maka baiklah jagaannya kepada saya kan. Balik pada diri sendirilah,” katanya.
Bagaimanapun, Remy tidak menganggap bahawa ini merupakan petanda untuknya berhenti bergelar anak seni, malah dia selalu menanam harapan untuk kembali berjuang dan mencari makan sebagai seorang pelakon.
“Saya seorang pejuang, rasa putus memang ada tapi apabila dua kaki sudah masuk dalam industri ini, mustahil saya mahu tinggalkan begitu sahaja. Cuma untuk kembali akan ambil sedikit masa.
“Cuma memang ada satu waktu itu, rakan-rakan dan ramai orang nampak saya ibarat hilang kerana ‘ditanam’. Tapi saya akan terus berjuang, doakan saya,” katanya.

Rezeki di balik ujian
Zaman sebagai hero romantis sudah pernah dirasai, begitu juga sebagai pelakon aksi. Remy tidak pula menyangka ketika dirinya dilanda ujian melibatkan makhluk ghaib, banyak pula tawaran cerita seram yang datang.
“Saya sekarang fikir kalau watak itu seronok untuk dibawakan, saya akan ‘jalan’ sahaja Cuma tahun ini banyak cerita seram. Awal tahun lalu ada Mikael Pemburu Dua Alam cerita lawan jin. Kali ini mula Khadam.
“Saya cakap dekat isteri ‘kenapa tahun ini banyak pula cerita hantu bila saya kena sihir tahun lalu’. Isteri pun pelik juga. Rasanya awal tahun ini memang penggal zaman hantu saya. Selepas ini akan muncul pula dengan filem Lahad Datu dua cuma tidak pasti bila akan terbit,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai karakter Awang lakonannya dalam filem Khadam, dia bersyukur kerana bergandingan bersama pelakon Indonesia, Aghniny Haque buat pertama kali yang banyak membantunya menyampaikan karakter lebih baik.
“Watak Melor perlu emosi berat, saya tak nampak ada yang boleh bawa karakter itu sampailah mereka beritahu pelakonnya adalah Anghiny. Awalnya saya tak kenal, tapi isteri saya memang tonton Netflix, dia yang cadangkan saya tonton beberapa filem lakonannya.
“Selepas saya tonton, tak perlu dipertikaikan lagi. Dalam beberapa hari sahaja semasa bengkel, dia sudah dapat karakter itu. Dia sangat berbakat mudah bekerjasama dan profesional,” katanya.
Filem seram terbaharu Khadam lakonan secara rasminya ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026 lalu.










