PETALING JAYA: Detik cemas dilalui pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim apabila anaknya, Rian, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil sebelum segera dikejarkan ke jabatan kecemasan.
Ryzal atau Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim, 34, berkata, insiden itu benar-benar menguji emosi apabila keadaan anaknya berubah daripada menangis kuat kepada tiba-tiba diam dan tidak memberi sebarang tindak balas seolah-olah tertidur.
“Gugur jantung kami melihat anak sendiri tidak sedarkan diri selepas jatuh katil. Kuat dia menangis. Lepas itu, dia diam dan tutup mata seolah tidur, tiada respon dan kami terus bawa ke kecemasan.
“Saya dan Maryam berusaha untuk tidak membiarkan Rian terlelap sepanjang perjalanan ke kecemasan.
“Tetapi, badan dia langsung tiada respon, matanya tertutup walaupun Maryam jerit nama dia sekuat-kuatnya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Ryzal berkata, detik melihat anak sendiri dalam keadaan tidak sedarkan diri adalah pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Ya Allah, sakitnya melihat isteri menjerit memanggil anak yang kami besarkan dalam keadaan kaku. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan itu ketika itu.
“Kami hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada kuasa Allah SWT. Kami mohon agar diberikan peluang untuk melihat anak kami kembali sedar Ya Allah,” katanya.
Untuk rekod, Ryzal telah mengahwini isterinya, Maryam pada 15 Ogos 2019 di Masjid Itaewon, Seoul setelah menegenal hati budi masing-masing di Korea Selatan. Mereka kembali ke Malaysia dan menetap di sini sekitar bulan September 2020.










