Anak sambung pengajian, adakala saya rasa sunyi - Aaron Aziz - Utusan Malaysia

Anak sambung pengajian, adakala saya rasa sunyi – Aaron Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon, Datuk Aaron Aziz mengakui, adakala dirinya dibelenggu perasaan sunyi apabila mengenangkan anak-anak yang semakin dewasa dan bakal meneruskan kehidupan masing-masing pada masa hadapan.

Malah, pelakon berusia 50 tahun itu berkata, dia kini mula merasai perubahan tersebut apabila tiga anaknya kini sudah mempunyai komitmen sendiri termasuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Menurut Aaron, suasana rumah yang dahulunya meriah dengan kehadiran anak-anak kini semakin berbeza dan memaksanya menerima hakikat bahawa setiap ibu bapa akhirnya perlu melepaskan anak-anak mencari arah hidup sendiri.

“Kalau tengok Instagram saya, memang saya ada kongsi juga tentang perkara itu. Sunyi, ketuk bilik panggil abang tak ada, ketuk bilik panggil kakak pun tak ada. Tetapi ini semua adalah sebahagian daripada proses membesar.

“Kalau tengok kembali hantaran saya semasa hari lahir Diana baru-baru ini, saya ada cakap macam mana pun akhirnya kita akan tinggal berdua sahaja. Diana selalu cakap, ‘let’s grow old together’. Anak-anak dah besar, macam mana pun mereka akan keluar dan mencari kehidupan mereka sendiri.

“Jadi akhirnya yang tinggal hanyalah kita dengan pasangan kita. Itu adalah realiti yang saya rasa semua ibu bapa akan lalui,” katanya.

Aaron berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharunya, Bidadari Tanpa Syurga terbitan Viu baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelakon kelahiran Singapura itu berkata, kesibukan kerjaya sedikit sebanyak membantu dirinya mengisi kekosongan apabila anak-anak tidak lagi berada di rumah sepenuh masa.

Katanya, anaknya seorang kini sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK), manakala seorang lagi berada di Amerika Syarikat (AS) dan seorang lagi bakal memasuki sekolah berasrama penuh.

“Sekarang sebab itulah saya masih sibuk bekerja. Seorang anak berada di UK, seorang lagi di AS dan seorang lagi pula bakal masuk asrama. Isteri saya pula sibuk terbang ke sana sini.

“Jadi bila saya balik ke rumah, memang ada masa-masa tertentu saya rasa sunyi sebab suasananya sudah tidak sama macam dulu. Saya fikir mungkin sebab itu juga Allah buat saya sibuk.

“Kalau saya jenis yang habis kerja terus duduk di rumah sepanjang masa, mungkin saya akan lebih terasa kesunyian itu. Jadi saya percaya Allah itu Maha Perancang dan mungkin Dia susun hidup saya begini untuk mengisi kekosongan yang ada,” katanya.

Dulu terlalu sibuk bekerja

Dalam pada itu, Aaron turut mengimbau pengorbanan yang pernah dilakukan pada awal pembabitannya dalam industri seni apabila terpaksa mengorbankan banyak masa bersama keluarga demi membina kerjaya dan menyediakan kehidupan yang lebih baik buat anak-anak.

Menurutnya, ada ketika dia terlepas menyaksikan sendiri detik-detik penting dalam proses tumbesaran anak-anak kerana terlalu sibuk bekerja.

“Pada awalnya memang saya banyak bekerja sebab saya nak bina kerjaya dan memastikan keluarga mempunyai kehidupan yang baik. Sampai ada satu tahap isteri saya telefon dan beritahu, ‘anak awak dah boleh berjalan’.

“Saya sendiri macam terkejut sebab rasa banyak perkara yang saya terlepas. Tetapi selepas semuanya semakin stabil, saya mula susun semula masa dan cuba memberi lebih banyak ruang untuk keluarga.

“Sebab itu sekarang saya cuba elakkan bekerja pada bulan-bulan tertentu supaya dapat luangkan masa dengan keluarga. Alhamdulillah anak-anak faham kenapa saya bekerja keras selama ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersedia sekiranya anak-anak memilih untuk bekerja dan menetap di luar negara selepas tamat pengajian, Aaron berkata dia tidak mempunyai masalah untuk memberi kebebasan kepada mereka menentukan masa depan sendiri.

“Kalau mereka mahu bekerja di sana, saya bagi sahaja. Saya selalu bergurau dengan mereka, saya dah penat bayar yuran dan kos hidup dalam pound sterling, jadi pastikan nanti dapat gaji dalam pound sterling juga.

“Tetapi secara serius, saya faham cara mereka berfikir. Anak-anak saya selalu cakap, ‘Dad, saya belajar di sini, jadi mungkin lebih baik saya bekerja di sini juga’. Saya hormati keputusan mereka sebab akhirnya ini kehidupan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Aaron mengakui dia masih belum bersedia sepenuhnya untuk berdepan saat sebenar melepaskan anak-anak, terutama apabila mereka mendirikan rumah tangga suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN