Allah sudah beri jalan keputusan, mohon henti kecaman terhadap kami - Aslam - Utusan Malaysia

Allah sudah beri jalan keputusan, mohon henti kecaman terhadap kami – Aslam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas suami kepada pempengaruh, Marissa Dania Hakim, Aslam Kasyfun Nazir Rashid, memohon orang ramai menghentikan segala bentuk kecaman dan komen negatif susulan keputusan mahkamah berhubung pengesahan lafaz perceraian mereka hari ini.

Menurut Aslam, selepas melalui beberapa siri perbicaraan, dia menerima keputusan yang telah ditetapkan dan percaya ia merupakan jalan terbaik buat kedua-dua pihak.

“Saya pun tak ada banyak benda nak cakap. Saya harap untuk keputusan mahkamah kali ini atas semua perbicaraan yang kita dah lalui, saya harap ini yang terbaik untuk kami berdua.

“Cuma saya minta pada orang ramai untuk tidak berkata lagilah selepas ini, berkata apa-apa yang buruk atau negatif kepada kami.

“Kadang-kadang perkara ini bukan sahaja melibatkan saya dan Marissa, tetapi turut melibatkan isteri saya, Umisya serta anak-anak juga,” katanya.

Aslam berkata demikian ketika ditemui media selepas prosiding mahkamah hari ini.

Mengulas lanjut, Aslam berkata, dia dan Marissa menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan berharap tiada lagi sebarang isu atau spekulasi yang boleh menimbulkan persepsi negatif selepas ini.

“Jadi kali ini saya dengan Marissa pun Alhamdulillah Allah dah beri jalan dan keputusan. Insya-Allah yang terbaik untuk kami berdua.

“Jadi saya minta supaya tidak ada apa-apa perkara negatif yang timbul lagi selepas ini, Insya-Allah,” ujarnya.

Bagaimanapun, Aslam enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai jumlah lafaz talak yang diputuskan dalam prosiding tersebut.

“Tak apalah, itu saya tak boleh nak ulas lebih lanjut. Perkara yang lebih dalam saya tak perlulah ulas,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Aslam turut menzahirkan doa dan harapan yang baik buat Marissa bagi meneruskan kehidupan selepas perceraian mereka.

“Insya-Allah saya doakan yang terbaik juga. Saya minta dan mohon orang ramai turut mendoakan yang terbaik untuk kami.

“Semoga apa yang berlaku ini menjadi satu pengajaran untuk kami berdua, untuk kita semua dan juga kepada orang ramai yang mengikuti perjalanan hidup kami. Itu sajalah, saya tidak ada apa-apa komen lebih,”katanya.

Terdahulu, Aslam dan Marissa mencuri perhatian apabila hadir secara berasingan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi mengikuti prosiding pengesahan lafaz cerai hari ini.

Untuk rekod, Aslam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk di mahkamah berkenaan pada 10 Mac lalu.

Sebelum itu, pada Mei tahun lalu, Aslam dan Marissa hadir ke mahkamah sama bagi proses pengesahan pernikahan mereka selepas dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Perkahwinan tersebut menjadi perhatian ramai apabila Aslam ketika itu masih berstatus suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan.

Malah, pernikahan berkenaan didakwa berlangsung tanpa pengetahuan isteri pertamanya serta keluarga kedua-dua belah pihak termasuk ibu bapa Marissa, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN