KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Aisha Retno menyifatkan persembahan juara Talk To My Manager 2 (TTMM2), Anggrek, sebagai luar biasa sehingga mampu menyentuh perasaan penonton yang menyaksikannya.
Menurut Aisha, kejayaan diraih Anggrek bersama pengurusnya, Adira, bukan disebabkan kehadirannya sebagai artis jemputan, sebaliknya hasil komitmen serta kerja keras yang dipamerkan mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
“Semua ini adalah hasil usaha peserta Talk To My Manager sendiri. Saya hanya berperanan sebagai pemangkin untuk membantu menjadikan persembahan mereka lebih bersemangat.
“Namun, persembahan kali ini benar-benar menyentuh jiwa saya. Anggrek yang kecil-kecil cili padi itu sememangnya layak bergelar juara berdasarkan persembahan yang dipamerkan malam ini. Kedua-dua persembahannya sangat sempurna,” katanya.
Aisha berkata demikian ketika ditemui selepas konsert akhir TTMM2, semalam.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sutera itu mengakui persembahan Anggrek mengingatkannya kepada kemenangan juara musim pertama, Marsya Qistina, tahun lalu.
“Ia memberikan saya perasaan dejavu seperti ketika Marsya diumumkan sebagai juara pada tahun lalu. Saya berharap hanya perkara yang baik-baik akan menanti Anggrek selepas ini,” katanya.
Pada masa sama, Aisha berharap Adira terus memainkan peranan penting dalam membimbing perjalanan seni Anggrek agar bakat luar biasa yang dimiliki kanak-kanak itu dapat digilap dengan sebaiknya tanpa mengabaikan kepentingan pendidikan.
Mengulas kemungkinan kerjasama pada masa hadapan, Aisha tidak menolak peluang untuk menghasilkan karya khas buat Anggrek sekiranya diberi kesempatan.
“Dengan hati yang terbuka, saya sedia menghasilkan karya untuk sesiapa sahaja yang sudi menerima hasil ciptaan saya.
“Bagi Anggrek, saya perlu mengenal pasti identiti dan keistimewaan yang boleh dijadikan tanda dagangannya. Sudah tentu aspek tarian dan elemen persembahan perlu diberi perhatian. Perkara itu memang sudah berada dalam perancangan saya,” ujarnya.










