KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Space Dollah, mengakui berdepan detik paling mencemaskan dalam hidupnya apabila hampir lemas ketika bercuti di Bali, Indonesia pada 17 Jun lalu.
Menerusi satu perkongsian video di media sosial, Space Dollah berkata, kejadian itu berlaku ketika dia berenang di laut bersama adiknya, Syed Saddiq, serta beberapa ahli keluarga lain yang berada di pulau peranginan tersebut atas urusan kerja dan percutian.
Menurutnya, dia pada mulanya terlalu yakin dengan kemampuan diri untuk berenang sebelum dihanyutkan ombak yang semakin kuat ke tengah laut tanpa disedari.
“Saya pergi ke laut dengan penuh keyakinan dan mengajak Hadi untuk berenang lebih jauh ke tengah. Ketika itu saya fikir saya seorang yang sangat pandai berenang. Ombak pula nampak biasa sahaja. Tetapi saya silap besar.
“Saya terus berenang semakin jauh sehingga tidak sedar ombak telah menarik saya ke tengah laut. Semakin jauh saya berada dari pantai, semakin kuat ombak menghentam saya. Pada masa itulah saya sedar saya sudah terlalu jauh dan perlu kembali ke pantai, tetapi keadaan menjadi semakin sukar,” katanya.
Tambahnya, keadaan bertukar cemas apabila dia mula panik selepas tidak lagi dapat merasakan dasar laut dan mendapati dirinya semakin sukar untuk bergerak melawan arus.
“Pada awalnya saya cuba bertenang. Saya sandarkan badan ke belakang dan berharap ombak akan membawa saya kembali ke pantai. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila saya ditarik semakin jauh ke tengah.
“Ketika itu saya sedar keadaan sudah menjadi serius. Saya mula terminum air laut dalam jumlah yang banyak dan tenaga semakin lemah. Saya menjerit meminta tolong beberapa kali sambil melihat adik saya dan rakan-rakan berada tidak jauh dari situ, tetapi tiada siapa yang mendengar kerana bunyi ombak terlalu kuat,” ujarnya.
Mengimbas detik paling menakutkan itu, Space Dollah berkata, dia benar-benar menyangka nyawanya akan berakhir selepas kehabisan tenaga dan tidak lagi mampu berenang.
“Saya fikir saya akan mati. Saya sudah terlalu lemah, terlalu banyak minum air laut dan badan saya langsung tidak mampu bergerak seperti biasa. Saya mengucap ketika berada di tengah laut kerana saya benar-benar merasakan itu mungkin saat terakhir saya.
“Apabila seseorang sudah menjerit meminta tolong di tengah lautan, itu bermakna keadaan benar-benar serius. Saya menjerit berkali-kali tetapi tiada siapa yang mendengar. Pada saat itu saya rasa sangat tidak berdaya dan hanya menunggu apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila Syed Saddiq secara tiba-tiba muncul dan bertindak menyelamatkannya daripada terus dihanyutkan ombak.
“Tiba-tiba Syed Saddiq datang dari belakang. Saya sendiri tidak tahu dari mana dia muncul. Ketika itu kaki saya sudah terlalu lemah dan saya sudah tidak mampu berenang.
“Dia berada di belakang saya dan menolak badan saya perlahan-lahan ke arah pantai sehingga saya berjaya sampai ke kawasan yang selamat. Selepas tiba di pantai, saya menangis kerana terlalu bersyukur masih diberikan peluang untuk hidup,” katanya.
Menurut Space Dollah, pengalaman tersebut merupakan detik paling hampir dengan kematian yang pernah dilaluinya sepanjang hidup.
“Kalau Syed Saddiq tidak datang pada waktu itu, saya benar-benar percaya saya sudah tiada. Itu adalah pengalaman paling menakutkan yang pernah saya lalui dan kali pertama saya berdepan situasi yang begitu hampir dengan kematian.
“Saya sangat bersyukur kerana masih hidup hari ini. Pengalaman itu mengajar saya bahawa laut bukan tempat yang boleh dipandang ringan walaupun kita merasakan diri kita pandai berenang. Hakikatnya, saya yang tinggi dan yakin dengan kemampuan sendiri pun gagal melawan kekuatan ombak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut, terutama ketika ombak kelihatan kuat.
“Jangan sesekali menganggap laut itu selamat hanya kerana kita tahu berenang. Jika ombak kelihatan kuat, jangan biarkan anak-anak atau sesiapa berenang bersendirian.
“Bali akhirnya menjadi pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan saya tidak mahu melalui situasi seperti itu lagi,” katanya.










