Zaman saya sudah berlalu, syukur masih diperlukan - Aziz M Osman - Utusan Malaysia

Zaman saya sudah berlalu, syukur masih diperlukan – Aziz M Osman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Aziz M Osman akur apabila peranannya dalam membangkitkan industri perfileman tanah air sudah berakhir dan tidak memberi impak besar seperti suatu ketika dahulu.

Menurut Aziz, setiap pengkarya akan melalui fasa yang sama selari dengan permintaan penonton yang semakin ghairah untuk melihat naskhah-naskhah yang bermutu.

“Ini merupakan satu revolusi yang setiap pengarah akan lalui apabila ‘bahannya’ tidak lagi menjadi satu bahan bualan atau gimik. Tan Sri P Ramlee juga melalui fasa ini pada penghujung zamannya.

“Bukan sebab produksinya tidak bagus, tetapi tarikan itu sudah kurang. Perkara itu berlaku kepada saya sekarang. Walaupun saya tidak mengatakan filem terakhir saya, 6 Jilake itu gagal, tetapi nama atau jenama itu sudah tidak lagi menarik orang ke pawagam.

“Di Hollywood pun, pengarah-pengarah hebat seperti Frank Darabont dan Joel Coen yang pernah menghasilkan karya agung akhirnya beralih ke Netflix. Itu memang satu kitaran.

“Jadi saya perlu terima hakikat itu. Alhamdulillah, saya masih diperlukan, cuma posisi saya sekarang lebih kepada di depan kamera dan bukan lagi di belakang kamera,” katanya.

Aziz berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media pelancaran filem HAK: Tuntut atau Tunduk yang berlangsung di ibu kota, pada Khamis.

Tambah Aziz, dia juga sudah mampu menarik nafas lega apabila melihat industri perfileman tanah air era kini berkembang maju apatah lagi sudah didominasi oleh kebanyakan pengkarya baharu.

“Saya lihat penonton sudah tidak lagi berkompromi dengan soal kualiti. Tidak seperti dahulu. Sekarang, nilai produksi mesti tinggi, semuanya perlu berada pada tahap terbaik.

“Maknanya, disiplin pembuatan filem sekarang sudah mencapai tahap profesional. Jadi bagi saya, perjuangan saya seolah-olah sudah selesai kerana perkara yang dulu saya perjuangkan kini sudah dipraktikkan dalam industri.

“Saya juga tidak malu dengan industri perfileman negara kita sekarang. Saya juga tidak mahu membazirkan tenaga dan duit orang. Zaman saya sudah berlalu dan saya bangga dengan legasi saya.

“Saya sudah menghasilkan karya terbaik seperti Senario The Movie, XX-Ray dan Puteri Impian. Jadi saya tidak lagi mengejar apa-apa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN