KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton nombor satu negara, Wong Mew Choo diumumkan sebagai duta jenama penjagaan kulit profesional, I MISHANG, sempena pelancaran rasmi produk itu di Malaysia baru-baru ini.
Selepas lebih 12 tahun bertapak di China, jenama di bawah syarikat AI SEE LIFE itu kini melebarkan pengaruhnya ke pasaran tempatan dengan mengetengahkan konsep penjagaan kulit berasaskan gaya hidup sihat dan kesejahteraan diri.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran suami Mew Choo, Lee Chong Wei bersama anak-anak mereka yang hadir memberi sokongan selain meraikan sambutan ulang tahun kelahiran bekas atlet negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif I MISHANG, Sheri Yap berkata, jenama berkenaan bukan sekadar menawarkan produk kecantikan biasa, sebaliknya membawa sistem penjagaan menyeluruh yang memberi penekanan terhadap kesihatan kulit dan gaya hidup berkualiti.
“Berteraskan falsafah ‘Lead with Love, Illuminate Life’, kami amat menitikberatkan aspek keselamatan dan kualiti produk dengan memastikan ia bebas hormon, logam berat serta bahan terlarang agar pengguna dapat menggunakannya dengan yakin,” katanya.
Menurut beliau, syarikat itu juga tidak mengamalkan sistem tambah nilai atau mewajibkan pembelian pakej tertentu kerana mahu setiap perbelanjaan pengguna benar-benar dimanfaatkan untuk penjagaan diri.
Dalam masa sama, AI SEE LIFE komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) menerusi peluang latihan serta pekerjaan dalam industri kecantikan.
“Selagi mereka sanggup belajar dan berusaha, kami bersedia melatih mereka menjadi pakar kecantikan profesional sekali gus membantu menjana pendapatan stabil,” ujarnya.
Sementara itu, Mew Choo berkata, penerimaannya sebagai duta I MISHANG bukan didorong faktor komersial semata-mata, tetapi kerana tertarik dengan nilai dan misi sosial yang dibawa syarikat tersebut.
“Saya dimaklumkan mereka mahu membantu golongan ibu tunggal dan OKU melalui latihan percuma serta peluang pekerjaan. Itu yang membuatkan saya bersetuju untuk bersama jenama ini kerana penglibatan saya diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, selama ini beliau lebih memberi tumpuan kepada keluarga dan jarang menerima tawaran komersial.
“Bukan kerana wang saya menerima tawaran ini, tetapi kerana nilai dan tanggungjawab sosial yang diketengahkan syarikat ini,” katanya.
I MISHANG kini boleh didapati di 20 outlet seluruh negara selain platform e-dagang AI SEE LIFE dan menyasarkan pengguna bandar berusia antara 20 hingga 45 tahun, khususnya golongan yang mementingkan penjagaan kulit berkualiti dan berkesan.
Antara selebriti dan tetamu kehormat yang hadir pada majlis berkenaan termasuk Emma Maembong, YM Sharifah Wani Jamalullail, YM Tunku Dayang Adelene Bahjah, Nancy, Cisee Tan, Standi Yap, Dato Joe Lee dan Datin Win Lock.










