KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik sensasi, Aliff Syukri meluahkan kebimbangan apabila wajah dan identitinya didakwa terus dieksploitasi sindiket penipuan dalam talian bagi memperdaya orang ramai.
Menurut Aliff, namanya antara paling kerap digunakan scammer untuk mempromosikan produk palsu sehingga menyebabkan ramai pelanggan mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.
“Kalau nak tahu, muka saya antara yang paling banyak digunakan scammer. Ada mangsa rugi RM25,000 malah ada yang sampai RM70,000.
“Mereka guna gambar dan wajah saya untuk jual produk, tetapi pelanggan akhirnya menerima barang lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran kempen Jualan Mega Terlajak Raya Aidiladha.
Beliau berkata, taktik sindiket terbabit semakin sukar dikesan kerana menggunakan teknologi moden selain menyamar seolah-olah berurusan secara langsung dengannya.
“Mereka gunakan muka saya sedangkan akaun itu bukan milik saya. Ada yang beroperasi dari China dan Vietnam,” katanya.
Menurut suami kepada Shahida Mohd Rashid itu, beberapa laporan sudah dibuat, namun tindakan sukar diambil kerana kebanyakan dalang berada di luar negara.
Lebih mengecewakan, wajahnya turut digunakan untuk mempromosikan pelbagai produk yang langsung tiada kaitan dengan syarikat miliknya.
“Saya tengok ada yang jual jeruk mangga pun guna muka saya, sedangkan itu bukan produk saya. Mereka hanya ambil kesempatan atas populariti saya,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff turut bersimpati terhadap golongan warga emas yang sering menjadi sasaran utama sindiket penipuan siber kerana kurang pendedahan mengenai teknologi dan urusan pembelian dalam talian.
“Biasanya yang tertipu mak cik-mak cik yang kurang faham pasal IT. Selepas itu mereka datang mengadu barang tidak berkualiti dan tidak seperti diiklankan.
“Sebab itu saya nasihatkan orang ramai beli hanya di platform dan akaun rasmi,” katanya.
Pada majlis sama, Aliff turut mengumumkan kerjasama antara D’Herbs Holdings Sdn. Bhd. dan GNI Pharma Sdn. Bhd. menerusi kempen Jualan Mega Terlajak Raya Aidiladha yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000.
Katanya, kempen berlangsung selama lima hari bermula 21 Mei itu menawarkan hadiah wang tunai antara RM1,000 hingga RM100,000 selain pakej percutian dan umrah kepada pelanggan bertuah.
“Saya mahu menghargai pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan saya. Pemenang akan diumumkan menerusi Facebook rasmi saya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya hanya mengikuti siaran langsung dan promosi yang dibuat menerusi akaun media sosial rasminya bagi mengelakkan terus menjadi mangsa penipuan scammer luar negara.










