PETALING JAYA: Tidak melatah apabila dikritik, penyanyi, Aina Abdul mengakui dirinya kurang pengetahuan dalam bidang masakan.
Menurut Aina, memasak merupakan terapi untuk dirinya mengisi masa lapang ketika ini selain mahu menghiburkan peminatnya menerusi sesi siaran langsung.
“Memasak adalah terapi saya ketika ini. Secara tidak langsung, saya dapat berhubung dengan peminat-peminat yang selalu meminta saya bersiaran langsung.
“Saya pun masih kurang pengetahuan tentang memasak, jadi kesilapan itu memang tidak dapat dielakkan. Itu sahaja,” katanya di Threads.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Terus Hidup tersebut turut berharap agar orang ramai tidak mengambil serius dan mempertikaikan cara dia memasak di dapur.
“Usah fikir terlalu mendalam. Itu sekadar cara saya mengisi masa terluang,” tulisnya.
Aina berkata demikian ketika membalas komen seorang netizen yang mempersoalkan caranya memasak di media sosial.
“Apa konteks Aina Abdul dengan live masak-masak? Letak ketumbar sekilo masak lemak sampai melimpah ruah.
“Aku macam tak faham. Dia buat live masak-masak ke sebelum jadi artis?,” komen netizen tersebut.










