KUALA LUMPUR: Penerbit, Datuk Ayu Puteh, meluahkan rasa syukur dan lega selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berpihak kepada syarikatnya, Pencil Pictures and Records Sdn Bhd berhubung isu saman terhadap Awesome TV mengenai pertikaian pembayaran dan pelaksanaan kontrak penerbitan drama.
Dalam keputusan penghakiman yang diumumkan hari ini, Mahkamah Tinggi mengarahkan Awesome TV membayar ganti rugi kepada Pencil Pictures and Records Sdn Bhd.
Difahamkan, nilai tuntutan yang terlibat dianggarkan melebihi RM1 juta, melibatkan hutang serta kerugian yang ditanggung syarikat penerbitan itu sepanjang tempoh pertikaian.
Ayu berkata, keputusan tersebut menjadi penamat kepada perjuangan undang-undang yang berlarutan hampir tiga tahun dan disifatkan sebagai satu keadilan yang akhirnya berpihak kepada pihak yang teraniaya.
“Saya bersyukur sangat-sangat, lega. Selama tiga tahun ini saya tertanya-tanya kenapa Allah bagi dugaan seberat ini. Kita buat kerja dengan jujur, ikhlas dan berkongsi rezeki dengan kru serta artis, tetapi akhirnya langsung tidak mendapat keuntungan malah menanggung kerugian yang sangat besar.
“Punca segala hutang, kesusahan dan kesulitan yang saya lalui selama tiga tahun ini bermula daripada projek bersama Awesome TV,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Ayu, kegagalan menerima bayaran selepas projek disiapkan menyebabkan syarikatnya berdepan tekanan kewangan yang serius sehingga terpaksa menanggung hutang bank serta pinjaman peribadi bagi memastikan produk yang dipersetujui dapat disiapkan mengikut jadual.
“Bila mereka tidak bayar, saya terpaksa menanggung hutang bank dan hutang yang dipinjam daripada kawan-kawan untuk meneruskan dan menyiapkan produk mereka. Tetapi selepas drama itu ditayangkan sepenuhnya, mereka menamatkan kontrak saya.
“ Apabila kita menuntut bayaran yang sepatutnya, mereka enggan membayar. Lebih mengejutkan, apabila kita mengambil tindakan undang-undang, mereka pula menyaman balas saya sebanyak RM142 juta,” katanya lagi.
Tambah Ayu,sepanjang tempoh perbicaraan, pelbagai tekanan dan cabaran terpaksa ditempuhi termasuk persepsi negatif, masalah operasi syarikat serta dakwaan yang menurutnya tidak berasas.
“Saya tetap bertahan sebab sokongan keluarga, rakan-rakan, artis dan kru yang sentiasa berpesan supaya jangan mengalah. Peguam saya juga sentiasa memberi semangat dan menegaskan bahawa apabila kita berada di pihak yang benar dan jujur, kita tidak perlu takut untuk meneruskan perjuangan menuntut hak,” katanya.
Ayu turut menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai bukti bahawa syarikatnya telah memenuhi segala tanggungjawab kontrak termasuk menyerahkan keseluruhan episod drama serta bahan siaran mengikut jadual yang ditetapkan.
“Hakim melihat bahawa kami telah menyerahkan semua produk yang dipersetujui dan drama itu telah ditayangkan sepenuhnya. Tarikh siaran tidak pernah dilanggar.
“Walaupun jadual siaran diawalkan dua minggu, kami tetap berjaya menyiapkan dan menyerahkan semua bahan yang diperlukan. Siang dan malam, saya bersama editor dan pasukan bekerja keras untuk memastikan projek itu siap,” katanya.
Dalam pada itu, Ayu juga merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang mengendalikan kes berkenaan serta saksi utama yang membantu membuktikan kronologi sebenar sepanjang kerjasama dengan stesen televisyen tersebut.
Awesome TV sebelum ini mendakwa Pencil Pictures Sdn. Bhd. gagal melunaskan syarat kontrak penerbitan drama dan telah memfailkan saman bernilai RM142 juta terhadap syarikat berkenaan Mac tahun lalu.
Ayu dalam reaksinya kepada media sebelum ini menyifatkan tindakan (saman) itu sebagai keterlaluan kerana syarikat penyiaran tersebut masih belum menjelaskan bayaran penuh drama 26 episod berkenaan.










