Selepas mengumumkan bakal mengadakan konsert After Hours Til Dawn Tour di Malaysia baru-baru ini, nama The Weeknd tidak henti-henti menjadi sorotan dalam kalangan peminatnya di media sosial.
Mana tidaknya, konsert yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 November ini dikatakan bakal menjadi konsert jelajah terakhirnya di Asia.
Pengumuman itu sekali gus membangkitkan keterujaan peminat yang sudah bersedia untuk ‘berperang’ mendapatkan tiket sebaik jualannya dibuka nanti. Namun, benarkah itu merupakan konsert jelajah terakhirnya atau sekadar gimik semata?
Meskipun pemilik nama Abel Tesfaye itu berjaya meraih populariti luar biasa pada hari ini, berikut merupakan fakta di sebalik kejayaan yang dimilikinya:-
Kehidupan sebelum popular
The Weeknd dibesarkan di Toronto oleh ibu dan neneknya selepas ibu bapanya berpisah ketika dia masih kecil.
Kehidupan zaman remajanya agak mencabar apabila dia pernah berhenti sekolah pada usia 17 tahun dan meninggalkan rumah untuk hidup berdikari bersama rakan-rakan.
Perjalanan hidupnya mula berubah apabila karya-karyanya mendapat perhatian ramai termasuk penyanyi, Drake. Mixtape House of Balloons kemudian menjadi titik kebangkitan yang membuka jalan untuknya muncul sebagai antara penyanyi paling berjaya di dunia.
Rahsiakan identiti pada awal penglibatan
The Weeknd mula dikenali sebagai figura misteri di YouTube sekitar tahun 2010 hingga 2011 apabila dia memilih untuk tidak mendedahkan identiti sebenar kepada umum.
Tampil dengan muzik bergenre R&B, ramai hanya mengenali suaranya menerusi lagu-lagu berkonsep melankolik, gelap, suram dan penuh elemen artistik.
Personaliti awalnya sering dikaitkan dengan imej pendiam, anti-glamor dan menjauhkan diri daripada media.

Penulis lagu yang kreatif
Selain menyanyi, The Weeknd juga seorang penulis lagu. Dia banyak terlibat dalam proses kreatif untuk artis lain termasuk menulis lirik serta menghasilkan melodi sebelum dan selepas dikenali umum.
Antara artis terkenal yang pernah bekerjasama dengannya ialah Ariana Grande, Beyoncé dan Drake. Gaya penulisannya yang emosional dan sinematik menjadikan lagu-lagu tersebut lebih kuat dari segi penceritaan dan emosi.
Blinding Lights lonjakan populariti
Lagu Blinding Lights menjadi titik perubahan terbesar dalam kerjaya The Weeknd apabila selepas karya itu meletup di seluruh dunia pada 2019.
Dengan gabungan elemen synth-pop dan muzik retro era 80-an, lagu tersebut turut mendominasi carta muzik antarabangsa selama berbulan-bulan dan mencipta pelbagai rekod penstriman serta radio.
Kejayaan luar biasa lagu itu bukan sahaja melonjakkan popularitinya, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara artis global paling berpengaruh.
Sejak itu, namanya semakin kukuh dalam industri hiburan dunia termasuk berpeluang membuat persembahan di Super Bowl LV Halftime Show pada 2021.
Perubahan imej dan konsep muzik
Salah satu kekuatan utama The Weeknd adalah keberaniannya mengubah imej dan konsep muzik mengikut setiap era album.
Pada awal kemunculan, dia dikenali dengan identiti misteri serta muzik R&B alternatif yang gelap dan melankolik menerusi karya seperti House of Balloons.
Selepas itu, The Weeknd mula bereksperimen dengan elemen pop, synth dan retro menerusi album After Hours lengkap dengan konsep visual sinematik dan karakter ikonik berjaket merah.
Menerusi album Dawn FM pula, dia membawa konsep lebih futuristik apabila muncul dengan penampilan yang kelihatan tua dan eksperimental dengan pengaruh muzik era 80-an.










