TARUNG: Unforgiven raih RM15.7 juta dalam 11 hari - Utusan Malaysia

TARUNG: Unforgiven raih RM15.7 juta dalam 11 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Filem aksi tempatan, TARUNG: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid terus mencetuskan fenomena apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM15.7 juta hanya dalam tempoh 11 hari tayangan.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan filem tempatan masih kukuh dan mendapat tempat di hati penonton Malaysia, khususnya pencinta genre aksi.

Lebih membanggakan, filem terbitan Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw itu terus mengekalkan momentum di pawagam selain hangat diperkatakan di media sosial sehingga berkembang menjadi fenomena budaya pop tempatan.

Sejak hari pertama tayangan, TARUNG: Unforgiven turut mendominasi carta Top 10 Golden Screen Cinemas (GSC) apabila kekal berada di tangga teratas sehingga kini.

Razaisyam yang juga penulis skrip dan penerbit eksekutif filem tersebut berkata, sambutan luar biasa penonton amat menyentuh hati seluruh pasukan produksi.

“Kami menghasilkan filem ini dengan penuh jiwa, disiplin dan komitmen bagi mengangkat martabat filem aksi tempatan ke tahap lebih tinggi.

“Kutipan RM15.7 juta ini bukan sekadar angka, tetapi isyarat jelas bahawa penonton Malaysia bersedia menyokong karya tempatan yang berani, jujur dan berkualiti,” katanya.

Selain itu, Razaisyam berharap momentum positif itu akan berterusan sekali gus membawa lebih ramai penonton ke pawagam bagi menikmati pengalaman menonton TARUNG: Unforgiven di layar besar.

Sementara itu, pelakon utama merangkap penerbit eksekutif, Aedy Ashraf meluahkan rasa syukur atas sokongan luar biasa yang diberikan penonton sejak hari pertama tayangan.

“Melihat reaksi penonton di pawagam dan perbualan aktif di media sosial memberikan kami semangat besar sepanjang perjalanan ini.

“Kejayaan ini milik semua yang percaya dan menyokong TARUNG: Unforgiven. Terima kasih kepada semua yang sudah menonton filem ini,” ujarnya.

Filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Aeril Zafrel dan ramai lagi.

Dalam pada itu, siri jelajah promosi filem tersebut akan diteruskan di zon utara pada 22 hingga 24 Mei ini bagi memberi peluang kepada peminat bertemu barisan pelakon filem berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN