KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal mengakui pihaknya mengambil maklum mengenai isu penipuan tiket konsert kumpulan sensasi K-pop, BTS, yang kini hangat diperkatakan dalam media sosial.
Menurut beliau, sindiket penipuan sanggup menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya peminat yang teruja mendapatkan tiket konsert kumpulan berkenaan.
“Memang saya ada dengar mengenai perkara ini kerana isu tersebut sudah menjadi kecoh. Namun, scammers tetap scammers, mereka akan lakukan apa sahaja untuk menipu.
“Mereka akan memberi pelbagai alasan untuk meyakinkan orang ramai termasuk mendakwa diri sebagai orang dalam dan kononnya mempunyai akses kepada tiket,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat individu menawarkan tiket konsert jelajah BTS di Malaysia walaupun jualan rasmi masih belum dibuka.
Dalam pada itu, Paramananthan berkata, pihak penganjur memahami kebimbangan peminat terutama apabila wujud pihak tidak bertanggungjawab menjual semula tiket pada harga yang melampau.
“Kami faham peminat rasa tidak selamat apabila ada pihak membeli tiket pada harga RM500 tetapi menjual semula sehingga RM2,000.
“Jika tiket itu sah mungkin tidak menjadi isu, namun masalah timbul apabila pembeli hanya menyedari tiket tidak boleh digunakan ketika tiba di lokasi konsert,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengambil tindakan lebih tegas bagi membanteras kegiatan penjualan tiket palsu serta penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
“Sebab itu kami berharap pihak kerajaan lebih tegas dalam menangani perkara ini dan bersama-sama membantu menjayakan agenda Beli Tiket Selamat.
“Bagaimanapun, saya sendiri akan meneliti isu ini dan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, media sosial kecoh apabila beberapa pihak mendakwa sudah memiliki tiket konsert BTS di Malaysia termasuk bagi kategori VIP, meskipun urusan penjualan rasmi masih belum dibuka.
Situasi itu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat yang bimbang menjadi mangsa penipuan tiket palsu atau pembelian tidak sah.










