KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz menyeru masyarakat untuk bersama-sama menghadiri program Quranic Madani – Night Reset: Bersatu Dalam Saf yang bakal berlangsung pada Jumaat ini di hadapan Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menurut PU Riz, program yang dianjurkan secara percuma itu bertujuan untuk menyemarakkan budaya membaca, memahami serta mencintai al-Quran dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.
“Insya-Allah, kita pada Jumaat ini bakal mengadakan majlis al-Quran iaitu Quranic Madani supaya kita dapat menghimpunkan seramai mungkin masyarakat untuk bersama membaca dan memahami al-Quran.
“Program ini juga terbuka secara percuma kepada semua,” katanya.

PU Riz berkata, antara fokus utama program tersebut adalah memberi pendedahan awal kepada golongan kanak-kanak seawal usia tiga hingga sembilan tahun untuk memulakan hafazan al-Quran, khususnya menerusi Juzuk 30.
“Kita mahu memberi peluang kepada anak-anak kecil bermula umur tiga hingga sembilan tahun untuk mula menghafal al-Quran bermula dengan Juzuk 30.
“Tujuan utama program ini adalah untuk melahirkan masyarakat yang dekat dengan al-Quran kerana sebaik-baik manusia ialah mereka yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya,” katanya sambil memetik hadis Nabi Muhammad SAW, Khairukum man ta’allamal Quran wa ‘allamahu.
Dalam masa sama, PU Riz turut mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan program yang dijadual bermula pada jam 8.30 malam itu.
“Mari sama-sama hadir pada jam 8.30 malam di hadapan Pavilion Bukit Bintang. Kita duduk bersama membaca al-Quran dan menghayati kalam Allah.
“Semoga Allah SWT memberikan keberkatan kepada negara kita dengan mengangkat al-Quran melalui Quranic Madani. Jumpa anda di sana,” ujarnya.
Program tersebut dijangka menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memperkukuhkan kefahaman dan kecintaan terhadap al-Quran di tengah-tengah suasana kehidupan moden bandar raya.










