KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik folk-rock ikonik Nepal, Nepathya, bakal menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert eksklusif Live in Malaysia yang dijadual berlangsung pada 1 Jun ini di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert berkenaan menjadi detik penting dalam jelajah dunia kumpulan tersebut bagi tahun 2026, sekali gus menandakan penampilan sulung mereka di Malaysia.
Ditubuhkan pada tahun 1990, Nepathya terus kekal sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam industri muzik Nepal selama lebih tiga dekad. Di bawah pimpinan vokalis utama dan pengasasnya, Amrit Gurung, kumpulan itu bukan sahaja memperjuangkan muzik tradisional Nepal, malah berjaya mengekalkan identiti budaya negara berkenaan menerusi gabungan elemen folk dan rock moden.
Sepanjang perjalanan seni mereka, seramai 24 pemuzik baharu pernah menyertai kumpulan itu, sekali gus memperkayakan evolusi muzik Nepathya tanpa mengabaikan akar budaya Nepal.
Nepathya juga dikenali sebagai kumpulan yang mempunyai kesedaran sosial tinggi. Selain menghasilkan 10 album popular, mereka turut aktif dalam pelbagai misi kemanusiaan dan pendidikan.

Antara sumbangan besar mereka termasuk menganjurkan jelajah pendidikan keamanan di seluruh Nepal bagi mengumpul jutaan Rupee Nepal (NPR) demi memastikan sekolah bebas daripada pengaruh politik dan keganasan.
Mereka juga berjaya mengumpul lebih 4 juta NPR untuk membantu mangsa gempa bumi Nepal serta 10 juta NPR bagi menyokong Manavsewa Ashram dalam usaha membantu golongan warga emas dan masyarakat memerlukan.
Dalam aspek pemeliharaan budaya pula, Nepathya turut mendokumentasikan penyelidikan muzik rakyat menerusi filem pemenang anugerah berjudul Bhedako Oon Jasto.
Sepanjang karier mereka, Nepathya telah mengadakan lebih 110 konsert di luar Nepal merangkumi 19 negara termasuk persembahan berprestij di Wembley Arena, London dan Manhattan Centre, New York.
Konsert di Kuala Lumpur bakal menjadi sebahagian daripada momentum jelajah antarabangsa kumpulan itu bagi tahun 2025 hingga 2026 yang turut melibatkan siri persembahan di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.
Peminat dijangka dihiburkan dengan rangkaian lagu malar segar kumpulan itu termasuk hit era 90-an seperti Chekyo Chekyo, selain lagu folk-rock terkenal seperti Resham dan Sa Karnali.










