Sebenarnya, bukan mudah untuk melihat kemunculan pelakon muda yang benar-benar hadir dengan pakej lengkap. Ada yang bergantung kepada rupa, ada yang sekadar popular di media sosial, namun tidak ramai yang benar-benar datang dengan jiwa seorang pelakon.
Sky Iskandar antara nama yang kini semakin mencuri perhatian. Dia tidak hanya tampil sebagai pelapis baharu industri, tetapi membawa sekali disiplin, kesungguhan dan pemahaman mendalam tentang seni lakonan.
Lebih menarik, Sky juga hadir bersama kelompok pelakon muda yang kini sedang mencorakkan gelombang baharu industri filem tempatan. Bersama rakan-rakan seperti Aedy Ashraf, Amir Ahnaf dan Mierul Aiman, mereka dilihat semakin menyerlah dan berjaya membuktikan kemampuan generasi baharu pelakon tanah air.
Bagi Sky, melihat kejayaan rakan-rakannya adalah satu perkara yang membanggakan dan memberi harapan besar terhadap masa depan industri seni tempatan.
“Secara peribadi, saya memang gembira melihat kawan-kawan saya berjaya. Baru-baru ini kita dapat lihat filem Tarung, Aedy, Mierul dan Amir juga semakin menyerlah. Saya rasa semua orang sedang bergerak dengan baik sekarang.
“Saya harap apa yang berlaku ini dapat memberi gambaran positif kepada industri bahawa pelapis dan generasi baharu sebenarnya sedang muncul dan mampu pergi lebih jauh,” katanya.
Pada masa yang sama, Sky sedar, masih ada segelintir pihak yang memandang rendah terhadap dunia seni dan menganggap golongan artis tidak membawa manfaat kepada masyarakat. Namun dia percaya perubahan persepsi itu memerlukan masa.
“Tidak semua orang akan bersetuju atau melihat apa yang kami lakukan ini sebagai sesuatu yang baik. Tetapi saya percaya apa yang kami buat adalah untuk perkembangan industri dan juga masyarakat.
“Walaupun ada yang masih mempertikaikan, saya rasa perkara seperti ini memerlukan masa sebelum orang benar-benar faham dan boleh menerima.
“Pada saya, penghargaan terhadap seni di Malaysia masih agak kurang. Kita belum benar-benar belajar untuk menghargai seni sebagai satu perkara yang besar. Bukan hanya filem, tetapi juga lukisan, arca dan pelbagai cabang seni lain. Semua itu sebenarnya berada dalam spektrum seni yang sangat luas dan wajar dihargai,” ujarnya.
Bercakap mengenai hubungan rapatnya dengan kelompok pelakon muda lain, Sky menyifatkan persahabatan mereka sebagai sesuatu yang sihat dan penuh sokongan positif.
“Saya rasa kami berada dalam satu kelompok yang sangat sihat. Kami sentiasa mendorong antara satu sama lain untuk menjadi lebih baik. Setiap kali ada projek baharu, kami akan saling menyokong dan bertanya perkembangan masing-masing.
“Macam ketika saya buat The Furious dan Aedy pula dengan filem Tarung, kami sentiasa berjumpa dan berkongsi cerita tentang perkembangan projek masing-masing. Saya rasa hubungan seperti ini sangat baik kerana ia membina sistem sokongan yang positif dan tidak wujud perasaan iri hati sesama sendiri,” katanya.
Walaupun kelompok mereka kadangkala menerima kritikan dan dilabel sebagai ‘poyo’, Sky memilih untuk tidak mengambil hati.
“Kalau ada yang rasa kami nampak terlalu menunjuk atau kelihatan poyo, saya minta maaf kalau perkara itu membuatkan sesiapa terasa. Tetapi sebenarnya kami hanya sedang melakukan yang terbaik dalam bidang masing-masing dan cuba memberikan yang terbaik untuk industri ini,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Sky turut mencuri perhatian menerusi pembawaannya sebagai Hakim, seorang watak yang sarat dengan kemarahan dan dendam dalam filem The Furios : Pertaruhan Maruah.
Membawa karakter seperti itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia menuntut emosi yang sangat berat sepanjang penggambaran.
“Memang penat membawa watak yang penuh kemarahan seperti Hakim. Sebagai pelakon, memegang emosi dendam dan marah untuk tempoh yang panjang memang sangat meletihkan. Kadang-kadang sebagai penonton pun kita rasa geram dengan karakter itu dan mahu dia berubah.
“Tetapi saya cuba memahami Hakim daripada sudut pandang dirinya sendiri. Pada saya, watak ini seperti surat cinta kepada anak-anak nombor dua kerana mereka selalunya mempunyai sisi emosi yang agak berbeza.
“Saya ramai berkawan dengan anak nombor dua, termasuk adik saya sendiri. Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya kenapa mereka suka melakukan perkara yang tidak konvensional.
“Tetapi selepas banyak melihat dan memahami mereka, saya mula faham kenapa mereka bertindak sedemikian. Jadi apabila saya membawa watak Hakim, saya cuba membawa sisi lembut dan emosi itu supaya penonton faham mengapa dia menjadi seperti itu,” jelasnya.










