PETALING JAYA: Penyanyi Mimi Fly mengumumkan dirinya sebagai artis jemputan khas dalam Konsert For You Nourul yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei 2026 dan akan bergandingan dengan penyanyi lagenda, Nourul Depp.
Mimi atau Shamimi Amalina binti Norhisham, 40, berkata, dia teruja untuk tampil sebagai artis jemputan dalam konsert berkenaan yang menghimpunkan lagu-lagu duet popular bersama penyanyi lagenda itu.
“Tak sabar mahu berkongsi pentas bersama Kak Nourul. Jom sama-sama nyanyi lagu-lagu duet popular beliau termasuk kolaborasi saya dengan susunan muzik yang lebih segar dan istimewa,” katanya menerusi satu hantaran di Threads, miliknya.
Mimi berkata, konsert tersebut juga dijangka menjadi malam penuh kenangan buat peminat kedua-dua penyanyi berkenaan.
“Malam itu pastinya penuh kenangan dan hiburan untuk semua yang datang. Kami akan cuba beri yang terbaik di Zepp KL,” ujarnya.
Konsert For You Nourul adalah konsert solo sulung dan persembahan eksklusif penyanyi terkenal Nourul Depp bagi meraikan ulang tahun kerjaya seninya yang mencecah 30 tahun.
Konsert For You Nourul di Zepp Kuala Lumpur itu dijangka menghimpunkan beberapa persembahan istimewa yang menggabungkan artis berbeza generasi dalam satu malam hiburan.










