KUALA LUMPUR: Pelakon, Mierul Aiman mengakui tersentuh selepas membaca nukilan yang ditulis oleh rakan baiknya, Amir Ahnaf yang mengimbau pembabitan awal mereka dalam industri seni.
Mierul atau nama penuhnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 27, berkata, perkongsian tersebut menjadi perhatian apabila Amir menulis secara terbuka mengenai momen-momen lama yang mereka lalui bersama dahulu.
Menurut pelakon yang membintangi filem Tarung: Unforgiven ini, setiap kenangan yang dirakam melalui gambar dan pengalaman lama memberi makna besar kerana ia menjadi bukti perjalanan yang pernah mereka tempuhi bersama dari bawah.
“Saya sedih dan terharu apabila membaca ucapan Amir untuk saya. Gambar itu menjadi bukti dan mengingatkan semula momen dan detik yang pernah kami lalui bersama dahulu.
“Gambar lama itu seperti sebuah mimpi dan saya ingin beritahu bahawa kekuatan mimpi adalah kepercayaan. Kita boleh buat jadi apa sahaja asalkan percaya dan gambar-gambar itu benar mengimbas banyak perkara,” katanya ketika ditemui pada malam gaya tayangan filem Tarung: Unforgiven di ibu negara, baru-baru ini.
Terdahulu, Amir berkongsi di media sosial mengenai perjalanan suka dan duka mereka dalam industri seni, selain menyifatkan Mierul sebagai antara individu penting yang banyak mempengaruhi pembentukan dirinya hari ini.
Dalam pada itu, Mierul yang juga juara Hero Remaja 2021/2022 itu turut berkongsi cabaran menjayakan watak Hatta dalam filem Tarung: Unforgiven.
“Babak paling mencabar adalah pada penghujung cerita yang menuntut saya untuk berlawan dengan Aedy.
“Ada 36 jam untuk menghasilkan 8 minit babak bertarung dan dalam tempoh itu kami berdua berlawan,” katanya.
Selain Mierul dan Amir, filem Tarung: Unforgiven ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Aedy Ashraff, Sharifah Sakinah dan Azira Shafinaz yang diarahkan oleh Razaisyam Rashid.










