Penyanyi sensasi Indonesia yang terkenal dengan persona flamboyan, Nassar atau lebih dikenali sebagai King Nassar, bakal membawakan spektakel muzik pop fusion menerusi konsert ‘Voice of the ‘KING’ Nassar Live in Malaysia’ pada 31 Julai ini.
Konsert yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur jam 7.30 malam itu menjanjikan sebuah persembahan bertenaga tinggi dengan gabungan susunan muzik mantap, penceritaan dramatik serta elemen komedi ringan.
Menerusi konsert berskala besar ini, King Nassar bakal mempersembahkan rangkaian lagu popularnya termasuk ‘Mati Lampu’ dan ‘Gejolak Asmara’. Lebih istimewa, penyanyi hebat Malaysia, Shiha Zikir, turut diundang sebagai artis jemputan khas bagi memeriahkan lagi malam tersebut.
Kehadiran Shiha Zikir dilihat sebagai satu simbolik sambutan muzik rentas budaya yang dinamik, sekali gus memperkukuh hubungan seni antara Malaysia dan Indonesia.
Penganjuran konsert ini merupakan hasil kerjasama antara Satu8 dan Black Sky Entertainment dengan sokongan Tourism Malaysia serta Orlaith Inc selaku rakan strategik.
Bagi peminat yang ingin merasai pengalaman ‘A Night with the King’, tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi kingnassarconcert.com dengan harga bermula dari RM188 sehingga RM6,888 bagi kategori Royal Box.










