PETALING JAYA: Pelakon, Tiz Zaqyah mengakui dirinya tidak lagi teruja setiap kali berada di lokasi penggambaran setelah sekian lama tidak aktif dalam industri lakonan.
Menurut Tiz atau nama penuhnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 38, jiwanya kini lebih tenang ketika berada di rumah berbanding menjalani kehidupan sebagai seorang pelakon.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku, saya cuma rasa tidak mahu berada di lokasi penggambaran lagi.
“Keseronokan itu sudah lama hilang dan saya hanya rasa keresahan serta tidak sabar untuk pulang ke rumah,” katanya dalam platform Threads.
Memberi bayangan mahu memperlahankan kerjaya seninya, Tiz bagaimanapun tidak berkongsi punca keputusan itu dibuat secara terperinci.
Dalam masa sama, pelakon drama Nur Kasih itu memaklumkan dirinya bakal kembali menyinari industri hiburan tidak lama lagi.
“Saya akan kembali tidak lama lagi, insya-Allah. Saya rasa telah hilang minat dalam berlakon sebelum ini. Terlalu banyak perkara, mungkin diri saya saja.
“Sedih kerana saya tidak pernah tahu bahawa saya sudah terlampau penat dan memaksa diri untuk teruskan. Dalam masa sama saya tidak mampu. Saya juga perlu bertahan,” ujarnya.
Terkejut dengan keputusan tersebut, rata-rata peminatnya menganggap pelakon itu sedang melalui fasa keletihan emosi dan mental, selain berharap dia bangkit untuk kembali berkarya selepas tempoh berehat.










