Kata-kata negatif tidak buat kami mudah ‘koyak’ - MCMD - Utusan Malaysia

Kata-kata negatif tidak buat kami mudah ‘koyak’ – MCMD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU realiti pahit yang harus diakui, ramai sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar populariti segera. Ada yang memilih jalan sensasi, mencipta drama media sosial, bergaduh secara terbuka dan tidak kurang juga yang sengaja ‘menjual’ kisah peribadi semata-mata mahu nama terus menjadi sebutan.

Namun bagi duo wanita baharu, MCMD, semua itu bukan jalan yang mahu mereka pilih.

Dianggotai dua gadis Sabah, Melinda Dadew dan Michelle Cheng, MCMD hadir dengan impian besar untuk mencipta nama dalam industri muzik tempatan menerusi bakat, disiplin serta kerja keras, bukannya kontroversi murahan.

Meskipun baru sahaja bertapak dalam industri muzik tanah air, kedua-duanya cukup sedar bahawa perjalanan sebagai anak seni bukanlah semudah yang disangka.

“Orang nampak dunia hiburan ini glamor, tapi sebenarnya sangat mencabar. Lebih-lebih lagi bila kita masih baru dan orang belum kenal siapa kita. Kadang-kadang kita sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi hasilnya belum tentu datang cepat.

“Saya sendiri pernah melalui fasa jatuh keyakinan diri selepas menerima kecaman netizen ketika cuba membina nama sebagai penyanyi solo.

“Ada orang pernah komen dalam sesi langsung dan cakap saya tidak akan pergi jauh dalam industri ini. Ayat itu sangat mengguris hati saya. Saya sampai rasa rendah diri dan pernah menghilang sekejap daripada media sosial sebab terlalu terkesan,” kata Melinda membuka cerita.

Namun siapa sangka, di saat dirinya hampir hilang arah, takdir memper­temukannya dengan Cheng yang akhirnya membuka lembaran baharu dalam hidupnya. Menariknya, kisah pertemuan mereka bukan berlaku di studio rakaman atau program hiburan, sebaliknya bermula di TikTok.

Menurut Melinda, semuanya tercetus apabila netizen mula menyedari wajah mereka seiras ketika masing-masing aktif melakukan sesi siaran langsung di platform tersebut sekitar tahun 2023.

“Ramai sangat yang komen kata muka kami sama. Ada yang masuk live saya dan cakap saya macam Cheng. Dalam live Cheng pula, orang kata dia macam saya. Dari situ kami mula bertegur sapa,”katanya.

Cheng yang sememangnya aktif di TikTok ketika itu akhirnya mula mengikuti akaun Melinda sebelum mereka berbalas mesej dan merancang untuk bertemu.

“Kami terus buat sesi penggambaran bersama di Kota Kinabalu. Lucunya, walaupun berasal dari daerah berbeza, sebenarnya kami berjiran sahaja. Melinda dari Kota Belud, saya pula dari Tuaran.

“Kami juga sama-sama extrovert, suka bercakap, suka menghiburkan orang dan tenaga kami juga sama. Mungkin sebab itu kami cepat serasi,” jelas Cheng.

Kata Cheng, walaupun sering disamakan seperti kembar oleh netizen, mereka langsung tidak terasa terganggu.

“Saya okey sahaja bila orang kata muka kami sama. Kadang-kadang saya nafikan juga, tapi sebenarnya saya suka sebab Melinda pun cantik,” usik Cheng.

Melinda pula menganggap persamaan wajah mereka sebagai satu kelebihan untuk penjenamaan MCMD.

“Bagi saya itu bagus untuk jenama kami. Orang jadi mudah ingat MCMD sebab mereka nampak keserasian kami,” katanya.

MELINDA DADEW

Pertaruh genre Hip-Dut

Walaupun baharu, MCMD sebenarnya tampil dengan konsep yang agak berbeza apabila mempertaruhkan genre Hip-Dut, gabungan hip hop dan dangdut moden yang kini semakin mendapat perhatian pendengar muda.

Single pertama mereka berjudul Modus dihasilkan oleh komposer dari Jakarta, Indonesia iaitu Rizky Maulana dan Rarin. Menurut Melinda, lagu tersebut membawa mesej yang dekat dengan kehidupan ramai wanita hari ini.

“Lagu ini sebenarnya tentang amaran kepada wanita supaya jangan mudah percaya dengan lelaki bermulut manis atau yang nampak terlalu sempurna. Kadang-kadang semuanya cuma modus untuk mempermainkan perasaan,” jelasnya.

Ditanya mengapa MCMD memilih komposer Indonesia untuk lagu pertama mereka berbanding bakat tempatan, jelas Melinda, keputusan itu dibuat berdasarkan kesesuaian genre.
“Kita tahu dangdut memang berasal dari Indonesia. Tambahan pula label kami ada cawangan di sana. Jadi, kami fikir kenapa tidak mulakan langkah dengan gabungan Indonesia terlebih dahulu.

Kami pun tidak sangka penerimaan di Malaysia pun sangat baik.

“Kami juga rasa bangga kerana walaupun masih ‘hijau’, tetapi lagu kami mendapat perhatian dari luar negara juga. Cheng sendiri mempunyai ramai pengikut dari Indonesia sebab algoritma media sosialnya kuat di sana,” kata Melinda.

Tidak sekadar mahu bergantung kepada lagu orang lain, MCMD juga memasang impian besar untuk menghasilkan karya sendiri pada masa akan datang.

Melinda yang merupakan graduan muzik mengakui dia mempunyai asas dalam penulisan lagu dan mahu berkongsi ilmu itu bersama Cheng.

“Saya memang belajar muzik di universiti, jadi ada sedikit pengetahuan tentang penulisan lagu. Dulu saya pernah menulis lagu juga. Cuma sekarang masa agak terhad. Tetapi kami memang ada perancangan untuk hasilkan lagu ciptaan sendiri nanti,” katanya.

Dalam pada itu, sementelah menyedari bahawa industri hiburan ini sememangnya penuh persaingan, MCMD juga tidak terlepas daripada dibanding-bandingkan dengan kumpulan wanita popular seperti DOLLA.

Malah ada netizen yang melabel mereka sebagai ‘DOLLA wannabe’. Bagaimanapun, bagi Melinda, mereka tidak pernah melihat perkara itu sebagai hinaan.

“Kami memang mengidolakan DOLLA. Mereka memberi inspirasi kepada kami. Tetapi kami bergerak dalam genre yang berbeza. Apa yang orang cakap itu kami jadikan motivasi.

“Saya anggap segala kutukan itu macam batu bata. Kalau orang lempar batu kepada kami, kami akan susun batu itu jadi tembok supaya kami jadi lebih kuat. Kami belajar daripada setiap kritikan,”katanya.

Selain itu, sempat mencelah, Cheng pula menyifatkan mereka sebagai anak Sabah yang sudah terbiasa dengan cabaran.

“Orang Sabah ini kental. Kami tidak mudah koyak. Komen negatif itu kami jadikan pembakar semangat untuk terus perbaiki diri,” katanya tenang.

MICHELLE CHENG

Mahu jaga nama baik keluarga

Walaupun semakin dikenali, kedua-duanya mengakui mereka masih menjaga imej dan nama baik keluarga dengan sangat berhati-hati.

Disebabkan itu, MCMD tidak mahu kejayaan datang kerana kontroversi semata-mata.

“Kalau tengok media sosial sekarang, memang orang yang banyak kontroversi cepat terkenal. Tetapi bagi kami, biarlah lambat asalkan orang kenal sebab bakat dan kerja keras.

“Saya sudah bersedia dari segi mental untuk hadapi dunia hiburan ini. Bila jadi artis, kita kena kuat menerima kecaman dan pujian sekali gus,” ujar Melinda.

Sokongan keluarga pula menjadi kekuatan terbesar buat mereka berdua walaupun pada awalnya keluarga agak keberatan untuk membenarkan mereka berhijrah ke Kuala Lumpur.

Keluarga Cheng misalnya, sangat bimbang tentang keselamatan dirinya, terutama apabila dia perlu menjalani rakaman di Jakarta.

“Mereka takut saya ditipu atau jadi mangsa pemerdagangan manusia contohnya.Pengurus saya sampai kena hantar surat rasmi dan tunjuk gambar artis-artis lain untuk yakinkan keluarga saya,” katanya sambil ketawa kecil.

Dalam masa sama, pesanan ibu bapa sentiasa menjadi pegangan buat Cheng.

“Ibu saya selalu pesan jangan lupa diri kalau sudah jadi artis. Jangan sombong dan jangan terlalu ikut orang. Saya pegang pesan itu sampai sekarang,” katanya penuh makna.

Dalam pada itu, kata Melinda, MCMD juga sudah mula memasang impian besar untuk mengem­bangkan sayap ke Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN