Jika berjaya, akan ada yang kedua - Pierre Andre - Utusan Malaysia

Jika berjaya, akan ada yang kedua – Pierre Andre

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUTRADARA, Pierre Andre meletakkan harapan yang menggunung terhadap naskhah seram terbaharunya, Nar’sata: Sekutu Setan yang mula menemui penonton 21 Mei lalu. Segala penat lelah dicurahkan untuk filem ini selepas dua naskhah arahannya, Jangan Pandang Belakang 2 dan Dajjal: Satu Malam Dipedajal dikatakan gagal di pawagam.

Kali ini, Piere mengambil langkah lebih berani. Masih bertaringkan Pierre membawa nama sutradara? Jawablah…

Anda sesuai mengarahkan filem seram. Adakah genre ini yang anda inginkan selama ini?

Saya tidak gemar membuat cerita seram kerana ia memakan jiwa saya. Saya lebih menggemari komedi atau romantik. Itu genre yang saya betul-betul minat.
Sebab itu, filem pertama yang saya arahkan adalah bergenre sebegitu, seperti 1st September dan I’m Not Single. Tapi tak tahu kenapa bila saya buat cerita seram, ia menjadi.

Kepulangan semula anda sebagai pengarah adalah menerusi Jangan Pandang Belakang 2 dan Dajal: Satu Malam Dipedajal. Pandangan tentang filem-filem ini?

Saya menganggap Jangan Pandang Belakang 2 dan Dajal: Satu Malam Dipedajal merupakan filem yang gagal bagi saya. Tapi dari situ saya mula lihat apa yang kurang, yang orang tidak suka pasal filem seram.

Apa yang penonton filem seram sekarang mahukan sebenarnya?

Generasi kini adalah mereka yang menonton kandungan dalam keadaan yang sangat cepat.
Budak sekarang tengok Youtube atau TikTok. Berlainan dengan saya amat menyukai kandungan yang dibikin agak perlahan seperti cerita seram yang dihasilkan daripada Jepun.
Tetapi saya perlu korbankan minat saya demi cita rasa penonton zaman sekarang.

Apa perancangan anda jika Nar’Sata: Sekutu Setan tidak berjaya?

Jika filem ini tidak mencapai standard yang saya mahukan, saya ‘angkat kaki’. Saya sudah ada perancangan, perlu menjual sesuatu yang berlainan. Tapi kalau masyarakat menyokong hasil kerja ini, saya akan teruskan dengan bersungguh-sungguh sebab saya tahu ada yang mahu menonton filem seram yang saya hasilkan.
Selaku penerbit, saya perlu menjual filem-filem yang saya hasilkan untuk dijadikan modal kepada projek filem seterusnya. Kalau buat keuntungan secara ‘cukup-cukup makan’, tidak ada gunanya. Tetapi jika filem ini mencapai jualan memberangsangkan, saya beritahu penerbit David Teo yang akan ada filem kedua.

Bagaimana dengan lakonan, masih berminat untuk berkarya?

Tidaklah. Kita bagi laluan kepada generasi muda pula. Mereka semua ada pakej untuk dijual.
Sebagai pelakon, aset paling utama adalah fizikal, kemudian barulah mental dan dalaman anda. Pada awal saya tidak bercita-cita menjadi pelakon. Misi utama saya adalah untuk menjadi pengarah filem. Selepas fasa Gol dan Gincu dan Dunia Baru, saya sudah tidak rasa kejujuran dalam bekerja. Sampai satu tahap saya pernah bertanya pada diri sendiri adakah saya melakukannya kerana wang sahaja?

Jika ditawarkan watak yang berlainan?

Saya akan pertimbangkan. Contoh seperti watak antagonis seperti pembunuh bersiri dan sebagainya. Kalau sekali datang peluang melakonkan watak jahat yang berlainan, saya akan pertimbangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN