Eira Syazira kesal anak dikecam, minta ruang untuk belajar - Utusan Malaysia

Eira Syazira kesal anak dikecam, minta ruang untuk belajar

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Eira Syazira tampil mempertahankan anak perempuannya, Amarra Sofea Rose susulan kecaman segelintir netizen yang mendakwa anaknya tidak layak meneruskan saingan dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Eira atau Syzira Sarimah Sakinah Almera Shuhaimi, 42, meluahkan rasa kecewa terhadap komen keterlaluan yang dilemparkan kepada anaknya yang baru berusia 13 tahun itu.

Menurutnya, usia tersebut merupakan fasa seorang remaja sedang belajar mengenal dunia, membina keyakinan diri serta mengejar impian dalam bidang diminati.

“Jangan patahkan sayapnya hanya kerana emosi kebencian,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya, semalam.

Tambah Eira yang juga merupakan pelakon drama Bait Cinta itu, cara sesetengah pihak menghukum Amarra seolah-olah anaknya melakukan kesalahan besar sedangkan dia hanya sedang mencari keberanian dan pengalaman.

Katanya, setiap individu berhak diberi ruang untuk belajar, berkembang dan menjadi versi terbaik diri sendiri tanpa perlu berdepan kecaman melampau.

“Biarkan dia terbang, belajar dan membesar menjadi versi terbaik dirinya. Kritik boleh, tapi janganlah sampai hilang rasa kemanusiaan,” ujarnya.

Menurut pelakon itu lagi, masyarakat dilihat terlalu mudah menghakimi dan mencari kesalahan orang lain sehingga terlupa bahawa setiap manusia mempunyai kekurangan tersendiri.

“Terlalu sibuk menghakimi, menyindir dan mencari salah orang lain hingga lupa diri sendiri juga manusia yang penuh kekurangan dan tidak sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Eira menjelaskan bahawa kata-kata buruk yang dilemparkan boleh memberi kesan kepada anaknya.

“13 tahun, usia di mana seorang anak sedang belajar mengenal dunia, belajar jadi berani dan mengejar impian.

“Cara sesetengah orang menghukum dan membenci anak 13 tahun ini seolah-olah dia telah melakukan kesalahan atau jenayah yang besar.

“Sedangkan dia cuma seorang anak kecil yang sedang cuba mencari keberanian, pengalaman dan ruang untuk berkembang,” katanya.

Terdahulu, nama Amarra menjadi perhatian netizen selepas ada pihak mempersoalkan kedudukannya dalam program berkenaan selain mendakwa peserta lain lebih layak untuk kekal.

Untuk rekod, Amarra merupakan anak kepada Eira dan penyampai radio terkenal, Azad Jasmin yang kini menyertai program realiti Talk To My Manager Musim 2 selain aktif muncul dalam kandungan media sosial keluarga mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN