MUNGKIN antara adegan yang masih membekas dalam kepala saya daripada The Devil Wears Prada 20 tahun lalu adakah ketika nama ‘Miranda Priestly’ begitu kuat, seolah-olah semua perkara yang mustahil boleh didapatkan dengan hanya menyebut nama ikon fesyen itu.
Andy Sachs terkocoh-kocoh berlari dengan telefon lipat bertanya apakah ada mana-mana pemilik kapal terbang peribadi yang boleh membawa wanita itu bertemu anaknya walaupun negara sedang dilanda badai? Walaupun ditolak berkali-kali ‘tapi ini untuk Miranda Priestly’ katanya di hujung telefon. Sama jugalah ketika dia dipaksa mencari buku Harry Potter belum terbit ‘ini permintaan Miranda Priestly’. Begitu sakti.
David Frankel sekali lagi hadir dengan The Devil Wears Prada 2 (TDWP2) dengan menampilkan sebuah dilema yang dihadapi pemain industri media dan fesyen, impak daripada perubahan bahawa internet adalah kiblat, algoritma adalah Tuhan. Cita rasa tidak lagi boleh mempertahankan syarikat, kecuali duit dan bajet juga sepopular apa anda di internet walau harus menjadi bodoh.
Dilema akhbar dan majalah ini dibuka dengan adegan Andy menerima anugerah kewartawan, pada masa sama dia menerima berita bahawa dia dan rakan-rakan telah dipecat serta merta kerana syarikat tidak mampu mempertahankan bakat sehebatnya. Orang setajam Miranda juga kecundang melakukan silap besar memuji pembekal yang buat hal menjadikan majalahnya, Runway, dikecam hebat.

Takdir mereka bertemu kembali ketika Andy kembali dipelawa menyelamatkan Runway menerusi jawatannya sebagai Ketua Kandungan Editorial.
Namun begitu, saya melihat TDWP2 lebih banyak membincangkan sebuah teori yang dipanggil role lose theory menerusi ambang kejatuhan seorang Miranda Priestly. Teori ini menceritakan apa yang terjadi sekiranya jawatan menjadi sangat sebati hingga menjadi identiti seseorang. Dalam TDWP2, kita melihat nama gah seorang Miranda dan segala kelebihan, keagungannya telah bertemu tarikh luput.
Daripada melempar kot di meja pekerja, kini dia belajar (atau terpaksa) menyangkut bajunya sendiri. Kerana wang syarikat tidak lagi sebanyak dahulu, kelebihannya boleh berkereta peribadi telah ditarik balik, tiada lagi penerbangan kelas pertama, semuanya telah dicatu. Miranda bertatih-tatih melihat segala yang pernah digenggam runtuh satu per satu.
Ketika kemahsyuran namanya sudah berada di hujung garisan, Miranda sedar, pekerjaan yang sangat transaksional ini tidak menawarkan apa-apa ketika role itu dilucutkan daripada dirinya. Tiada orang yang benar sayang kepadanya.

Apa yang dihadapi Miranda, sebenarnya banyak dihadapi para selebriti dan individu penting dunia. Mereka perlu beradaptasi secara psikologi lebih-lebih lagi jika sudah terbiasa dipuja dan mendapatkan layanan istimewa. Anda terbiasa merasa ‘besar’, anda biasa memijak sesiapa. Namun apabila roda takdir sudah bertukar, anda mula menganga.
Miranda memohon maaf di hadapan Emily duduk bersilang kaki sedangkan wanita itu pernah dihinanya suatu masa dulu.
Bagaimanapun, saya kurang faham bagaimana seorang Andy Sachs, jurnalis yang menang hadiah kewartawanan terpenting negara masih lagi dengan sikap sama, mengucing (tak pasti ayat ini sesuai digunakan atau tidak), tunduk di depan Miranda.
Seolah-olah keyakinannya sebagai wartawan yang sudah pasti lebih keras boleh jinak di depan seorang ikon tua.
Andy yang bertahun lebih muda, lebih terbuka memahami algoritma masih sahaja mahukan pengakuan, pujian daripada seorang tua seperti Miranda. Tak pasti kiblat apa yang dipakai Andy membuatkan semua yang diinginkannya harus dengan restu Miranda. Tidak buruk, sekadar jelik sahaja.
Mungkin Andy seorang yang setia, itu sahaja. Mungkin dia merasakan menjerit di telefon ‘bos saya lebih baik daripada bos awak’ adalah perkara besar dalam hidupnya. Mungkin dia tidak pernah mahu menjadi yang utama, sekadar menjadi orang yang menuliskan takdir orang lain serta menimbang segala yang pernah sekadar ‘mungkin’.










