KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu, Adam Nuqris, melakar langkah awal dalam industri muzik arus perdana menerusi pelancaran single debut berjudul ‘Alasan’ selepas mencipta fenomena di platform digital.
Kemunculan bakat muda itu menjadi perhatian apabila berjaya mengumpul lebih 68,000 pengikut di TikTok menerusi nyanyian cover yang penuh emosi sekali gus membuka laluan ke dunia seni secara lebih serius.
Dikenali dengan tona vokal ‘serak-serak basah’ serta kebolehan merentas genre daripada hip-hop hingga rock, Adam dilihat sebagai antara wajah baharu yang berpotensi mewarnai landskap hiburan tempatan.
Sebelum mencipta nama, anak muda itu pernah bekerja sebagai tukang gunting rambut selain mengusahakan gerai makanan di Kampung Baru yang menjadi titik awal perjalanan hidupnya.
Menurut Adam, pengalaman hidup yang sederhana serta jatuh bangun dalam mencari arah telah membentuk identiti seninya hari ini.
“Saya tidak datang daripada jalan yang mudah dan semua yang saya lalui membentuk siapa saya hari ini, malah saya percaya muzik adalah tentang kejujuran dalam menceritakan apa yang kita rasa,” katanya.
Single ‘Alasan’ tercetus daripada rakaman pendek berdurasi 30 saat yang dimuat naik di TikTok sebelum mendapat perhatian luar jangka daripada pendengar.

“Saya ingat itu hanya momen kecil, tetapi apabila ramai mula ‘connect’, saya sedar ini adalah cerita yang perlu disempurnakan menjadi karya penuh,” jelasnya lagi.
Lagu berkenaan hasil ciptaan Kidd Santhe bersama Adam, Saixse dan Altimet itu mengetengahkan tema kejujuran emosi serta keberanian melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi makna.
“Kadang-kadang kita bertahan terlalu lama dan pada satu titik, ‘pergi’ bukan bermaksud kalah tetapi satu bentuk keberanian paling jujur,” ujar Adam.
Di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, lagu ‘Alasan’ kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk YouTube.










