Cromok, Barbarik bakal gegar konsert Black On White 27 Jun ini - Utusan Malaysia

Cromok, Barbarik bakal gegar konsert Black On White 27 Jun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas sekian lama dinantikan peminat muzik rock dan metal tempatan, dua kumpulan legenda tanah air, Cromok dan Barbarik akhirnya bakal berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara pada 27 Jun ini.

Konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik itu dijangka menjadi antara persembahan terbesar dan paling dinanti peminat muzik rock tahun ini apabila menghimpunkan dua kumpulan dengan identiti muzik berbeza dalam satu pentas.

Lebih menarik, konsert berkenaan turut menampilkan segmen khas tribute kepada kumpulan legenda Kembara menerusi susunan muzik baharu tanpa menghilangkan keaslian melodi asal.

Gitaris Barbarik, Jobranko berkata, idea segmen tribute itu diwujudkan bagi memberi kelainan kepada keseluruhan perjalanan konsert selain menghargai pengaruh besar Kembara dalam perjalanan muzik mereka.

“Konsert bukan sekadar persembahan lagu semata-mata, tetapi satu pengalaman kepada penonton. Jadi kami mahu hadirkan sesuatu yang lebih istimewa buat peminat.

“Bersama Cromok, cabarannya lebih besar kerana karakter vokal Mus dan Sam sangat berbeza. Sebab itu kami tampilkan segmen khas ini supaya peminat lebih teruja,” katanya.

Menurutnya, lagu-lagu Kembara dipilih kerana mempunyai nilai sentimental selain mesej yang kuat dan dekat dengan jiwa mereka sejak zaman remaja.

“Kami membesar dengan karya-karya Kembara. Lagu mereka malar segar dan mempunyai kekuatan tersendiri. Jadi kami susun semula lagu-lagu itu supaya lebih segar dan sesuai dengan energi Black On White.

“Paling menarik apabila Cromok dan Barbarik akan bergabung dalam beberapa persembahan khas sebagai penghormatan kepada Kembara,” katanya.

Sementara itu, Karl Cromok menyifatkan segmen tersebut sebagai perjalanan nostalgia yang diberikan suntikan baharu menerusi sentuhan muzik moden.

“Kembara antara muzik yang kami dengar sejak muda. Jadi segmen ini ibarat mengimbau kenangan lama, tetapi dengan sentuhan rock yang lebih bertenaga,” katanya.

Selain segmen tribute, penonton turut bakal menyaksikan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik termasuk persembahan single baharu kedua-dua kumpulan yang akan dipersembahkan secara langsung buat pertama kali.

Dalam perkembangan sama, Karl berkata, konsert itu turut mengetengahkan konsep No Noise Digital Stage dengan penggunaan teknologi persembahan digital sepenuhnya.

“Kami menggunakan pendekatan 100 peratus digital tanpa amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas. Semua audio dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor bagi menghasilkan bunyi lebih bersih dan berkualiti,” katanya.

Bagaimanapun, Barbarik masih mengekalkan elemen persembahan konvensional menerusi penggunaan monitor wedges dan susunan pentas lebih organik, namun dibantu mixer digital.

Perbezaan pendekatan itu sekali gus menjadi keunikan utama Black On White yang menghimpunkan dua identiti muzik berbeza dalam satu persembahan.

Konsert tersebut menawarkan enam kategori tiket dengan harga bermula RM175 hingga RM998 bagi pakej VIP. Tiket boleh didapati menerusi platform MyArteez dan Fantopia.

Konsert Black On White Cromok-Barbarik turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik, Dana Persembahan Muzik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN