Cabaran tembusi AJL, El Riss, Fana mahu kekal identiti sendiri - Utusan Malaysia

Cabaran tembusi AJL, El Riss, Fana mahu kekal identiti sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Penyanyi muda, El Riss mengakui bukan mudah untuk lagu baharunya, Adat Bercinta menembusi pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), apatah lagi dalam landskap industri muzik yang kini didominasi genre moden.

Menurutnya, trend semasa yang lebih memihak kepada irama pop balada dan R&B menjadi antara faktor utama yang menjadikan persaingan semakin sengit.

“Kalau bercakap soal AJL, memang mencabar. Banyak lagu moden seperti pop balada dan R&B menjadi pilihan. Lagu ini pula agak berbeza.

“Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, namun tetap berharap. Andai ada rezeki, saya terima,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tersebut di sini baru-baru ini.

Pandangan sama turut disuarakan rakan duetnya, Fana Ibrahim yang melihat genre lagu berkenaan kurang selari dengan arus perdana ketika ini.

“Memang agak sukar untuk lagu ini ke AJL kerana trend sekarang lebih kepada pop dan R&B. Lagu ini ada kelainan tersendiri.

“Mungkin pada masa akan datang, kami tampil dengan karya yang lebih sesuai untuk pentas itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, kedua-dua penyanyi tersebut sepakat untuk terus mempertahankan identiti muzik masing-masing tanpa terlalu mengejar formula popular semata-mata.

Mereka menjelaskan, Adat Bercinta tercetus hasil keserasian serta eksperimen vokal sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan.

“Ilham datang daripada pelbagai aspek termasuk keserasian kami berdua. Dari segi vokal, kami banyak membuat rujukan dengan menonton persembahan penyanyi lain untuk memahami teknik penyampaian,” jelas mereka.

Sementara itu, El Riss mengakui dirinya masih dalam fasa meneroka pelbagai genre bagi mencari kesesuaian dengan suara sendiri.

“Pada awalnya saya tidak begitu biasa dengan lagu seperti ini. Namun selepas mencuba, saya dapati ia sesuai. Fana juga banyak memberi dorongan untuk saya mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh isu pelabelan lagu yang sering dianggap sebagai ‘lagu rempit’, yang menurutnya tidak wajar dijadikan ukuran.

“Saya terbuka menerima pandangan, tetapi tidak perlu melabel sesuatu karya itu secara negatif.

“Yang penting, kita meraikan kepelbagaian muzik tanpa meletakkan batasan tertentu,” ujarnya.

El Riss sebelum ini mencipta nama menerusi platform TikTok dan meraih perhatian ramai dengan lagu Lukisan yang mencatat lebih 13 juta tontonan.

Fana Ibrahim pula, 18, dilihat sebagai antara bakat baharu yang semakin menyerlah selepas memperkenalkan single sulung Tanpa Relaku, selain dikenali dengan kemahiran bermain gitar yang menjadi identitinya.

Single Adat Bercinta kini boleh distrim di semua platform digital bermula 24 April lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×