Bola sepak bukan untuk lelaki sahaja - Hanna Aqeela - Utusan Malaysia

Bola sepak bukan untuk lelaki sahaja – Hanna Aqeela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah wanita, padang bola mungkin sekadar tempat melihat sepasukan lelaki beraksi mengejar jaringan. Namun bagi pelakon jelita, Hanna Aqeela, gelanggang itulah yang menjadi saksi minat mendalamnya terhadap sukan itu.

Terkenal dengan perwatakan yang lemah lembut dan feminin, Hanna mendedahkan minatnya terhadap bola sepak bermula selepas dia aktif bermain futsal sewaktu permainan itu popular dalam kalangan remaja wanita.

“Saya memang suka bermain bola sepak sejak kecil. Sewaktu sekolah menengah dulu, semua orang teruja hendak main futsal kerana filem Gol dan Gincu. Ketika itulah saya buat pasukan dan mula aktif masuk latihan serta kejohanan.

“Cuma apabila sudah semakin dewasa, saya perlu kurangkan sedikit sebab sudah berkahwin. Lagipun untuk mengumpul satu pasukan itu susah.

“Perempuan yang bermain bola tidak ramai. Kalau lelaki, bila-bila masa saja boleh buat perlawanan persahabatan. Perempuan agak sukar sebab yang betul-betul main kebanyakannya yang profesional,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah pelakon berusia 36 tahun itu, minatnya terhadap sukan padang tersebut tidak berhenti di situ apabila bapanya juga merupakan seorang jurulatih bola sepak.

“Apabila meningkat dewasa, bapa saya ambil lesen sebagai jurulatih bola sepak. Dari situ saya beralih daripada futsal kepada bola sepak sebab ayah sendiri jadi jurulatih kami,” katanya lagi.

Meskipun sedar sukan tersebut didominasikan oleh kaum lelaki, Hanna bersyukur minatnya itu meraih penerimaan orang ramai, malah menjadi inspirasi dalam kalangan pengikutnya.

“Sebenarnya, kaum wanita juga boleh bermain bola sepak. Bola sepak ini bukan untuk kaum lelaki sahaja. Cuma di Malaysia, sukan ini sinonim dengan hobi kaum lelaki.

“Waktu saya mula bermain bola pun ramai yang tidak percaya kerana perwatakan saya yang lembah lembut. Setiap kali saya kongsikan momen saya beraksi di padang, rata-rata pengikut saya pun teruja.

“Secara tidak langsung saya rasa itulah kebaikannya untuk beri pendedahan untuk mengajak lebih ramai lagi golongan wanita bermain bola sepak,” kongsinya.

Bukan sekadar hobi, Hanna juga pernah menyertai pelbagai kejohanan bersama kelab bola sepak yang disertainya iaitu First Eleven Football Club.

“Sebelum ini saya memang aktif sangat masuk kejohanan bola sepak, terutama sebelum dan selepas Covid-19. Sekarang sudah kurang sikit sebab susah untuk bahagikan masa untuk latihan,” jelasnya.

Dalam keterujaan mengejar bola, pelakon itu juga tidak terlepas daripada berdepan kecederaan ketika beraksi di padang apabila dahinya terkoyak selepas bertembung dengan pemain lawan ketika menyertai satu perlawanan menentang Selangor.

“Ketika itu kami tidak cukup pemain tapi tetap teruskan permainan sebab kalau tarik diri kena tolak mata. Saya berlaga dengan pemain lain ketika sama-sama berebut bola.

“Bahagian dahi saya terkoyak sampai perlu dijahit. Dalam keadaan darah yang banyak ketika itu saya keluar padang sekejap saja untuk dapatkan rawatan, kemudian masuk padang balik sebab tidak cukup pemain,” kongsinya.

Hanna bagaimanapun berharap lebih ramai wanita berani mencuba sukan bola sepak tanpa terlalu memikirkan persepsi masyarakat, selain mengakui permainan itu mempunyai banyak manfaat terhadap tubuh badan.

“Sukan bola sepak ini banyak membantu motor skil kita ketika berada di padang. Ia bukan mengenai ketangkasan mengejar bola semata.

“Meskipun ramai yang masih skeptikal dengan penglibatan kaum wanita, kita masih boleh cuba. Jika tidak mahu bermain di padang, mulakan di gelanggang dengan bermain futsal dahulu.

“Kalau tidak ramai perempuan pun tidak mengapa sebab kita boleh mengadakanlatihan dengan lelaki dan itu sebenarnya lebih membantu tingkatkan kemahiran kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN