PETALING JAYA: Pelakon, Azar Azmi kini kembali menjalani penggambaran drama buat pertama kali setelah tujuh tahun menyepi daripada industri seni tanah air.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Azar dilihat teruja, selain mengakui gemuruh untuk kembali beraksi di hadapan layar televisyen untuk sebuah naskhah yang berjudul Bulan Henti Bicara.
“Saya gemuruh dan takut,” katanya menerusi perkongsian di Instagram Bambam Studios.
Dalam hantaran tersebut, Azar juga dilihat gagal menahan air matanya dan gementar untuk keluar daripada kenderaan sebelum dipujuk oleh pengurusnya untuk melangkah masuk ke set.
Perkongsian tersebut turut meraih pelbagai reaksi dari kalangan netizen yang rata-ratanya ada yang meluahkan rasa rindu terhadap pelakon tersebut di ruangan komen
Malah, ada juga yang mengakui sebak melihat keadaan Azar, selain tidak sabar menantikan kemunculannya semula di televisyen.
“Selamat kembali champ,” komen Sharnaaz Ahmad.
“Selamat kembali Azar, kami pun sangat rindu mahu tengok lakonan kamu. Semoga baik-baik buat kamu. Tak sabar nak tengok,” komen seorang peminatnya.
“Tenang Azar, ramai sayang awak. Jangan rasa terbuang. Kami semua tetap sokong awak. Semoga terus sukses dan bersinar dalam karier,” kata seorang lagi peminatnya.
Lebih mengejutkan, video kemunculan semula Azar yang dikongsikan oleh Bambam Studios menerusi platform TikTok berjaya meraih lebih 1 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam selepas dimuat naik.
Untuk rekod, Azar Azmi sebelum ini cukup dikenali menerusi lakonannya dalam drama-drama popular seperti Nur 2, Isteri Misteri, Red Velvet dan Suri Hati Mr Pilot.
Selain Azar, drama terbitan Treputree Sdn Bhd turut dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Azhan Rani, Ezzanie Jasny, Ali Reza, Farah Ahmad dan Hushairi Husin.










