Ayu Damit nafi wujud unsur sihir, akui kurang rehat punca kesihatan merosot - Utusan Malaysia

Ayu Damit nafi wujud unsur sihir, akui kurang rehat punca kesihatan merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ayu Damit menafikan dakwaan kononnya masalah kesihatan yang dialaminya berpunca daripada unsur sihir, sebaliknya menjelaskan keadaan itu berlaku akibat keletihan melampau dan kurang rehat susulan jadual kerja yang padat.

Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 37, memaklumkan dia terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di ibu kota kira-kira jam 3 pagi tadi selepas mengalami sakit dada dan muntah berpanjangan.

Menurut Ayu, dia mula berasa tidak sihat sejak awal pagi semalam sebelum mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik, namun keadaannya tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Sejak awal pagi semalam, saya mula berasa sakit dada dan kerap muntah. Selepas mengambil ubat di klinik pun keadaan masih sama, sebab itu saya minta suami hantar ke hospital untuk rawatan lanjut.  Ada yang layangkan pertanyaan pada saya, sama ada sakit yang saya alami ada unsur sihir, tetapi saya rasa tiada kaitan. Mungkin kerana keletihan sahaja.

“Bagaimanapun, saya akui hairan juga sebab ibu saya di Sabah pun turut sakit,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Ayu berkata pihak doktor akan menjalankan pemeriksaan lanjut termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bagi mengenal pasti punca sebenar masalah kesihatan yang dialaminya.

“Doktor akan lakukan CT Scan untuk mengetahui punca sebenar penyakit. Kita tunggu sahaja keputusan penuh daripada doktor.

“Saya juga mohon semua peminat doakan kesembuhan saya supaya dapat kembali bekerja seperti biasa kerana setakat ini saya tidak mempunyai sebarang penyakit serius,” katanya.

Pada masa sama, Ayu turut meluahkan rasa syukur apabila acara persembahan yang dijadualkan di Johor pada minggu ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaannya.

“Saya juga belum pasti berapa lama akan ditahan di wad kerana masih menunggu pemeriksaan lanjut.

“Walaupun dalam keadaan sakit, saya masih perlu memikirkan soal perniagaan kedai emas dan jadual kelas yang sedikit tertangguh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN