PETALING JAYA: Ketika penggunaan teknik pelarasan suara, ‘autotune’ masih diperdebatkan dalam industri muzik, penyanyi dan komposer, Kmy Kmo berpendapat bahawa teknik tersebut memainkan peranan penting dalam mencantikkan sesebuah karya.
Kmy Kmo atau Lukmanul Hakim Azmaili, berkata, penggunaan autotune bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan kerana teknik tersebut sudah lama digunakan dalam industri muzik termasuk oleh penyanyi profesional.
“Berhentilah pertikaikan isu autotune dalam muzik rap. Autotune ini bukan mencacatkan lagu, tetapi mencantikkan lagi sebenarnya.
“Sedangkan penyanyi-penyanyi profesional pun menggunakan autotune untuk sedapkan vokal masing-masing untuk menjaga kualiti rakaman studio,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah finalis Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) itu, ramai yang menyangka penggunaan autotune sesuatu yang mudah sedangkan proses menghasilkan bunyi yang sesuai amatlah sukar.
“Autotune bukan benda mudah hendak dibuat. Sejujurnya, benda itu susah. Setiap lagu ada karakter dan warna yang berbeza,” jelasnya.
Menurut Kmy, penggunaan teknologi tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai perkara negatif selagi karya yang dihasilkan memberi kesan baik kepada pendengar.
“Selagi lagu itu memberi impak positif, bermakna perkara itu positif.
“Solo saya selepas ini, Luca Sickta akan berkolaborasi bersama seseorang dan juga akan menggunakan autotune,” katanya.
Terdahulu, Kmy Kimo membuat satu hantaran bahawa dia berpandangan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam karya seni bukan sesuatu yang salah sekiranya digunakan dengan cara yang betul. Dia berpendapat bahawa kecanggihan teknologi seharusnya diraikan dan tidak sepatutnya ditolak.
Walaubagaimanapun, Kmy Kimo sekali lagi mencetus perhatian apabila dia berpendapat isu autotune ini bukanlah sesuatu yang salah sekiranya digunakan dalam industri muzik di Malaysia.










