Ushera tampil persembahan khas ‘Warna Warni Hari Raya Latin Jazz Style’ di BOBO KL - Utusan Malaysia

Ushera tampil persembahan khas ‘Warna Warni Hari Raya Latin Jazz Style’ di BOBO KL

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang semakin mendapat perhatian, Ushera, kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan sebuah persembahan istimewa buat peminat setianya.

Selepas melancarkan lagu raya terbaharu berjudul Warna Warni Hari Raya, Ushera bakal menghiburkan penonton menerusi sebuah malam keraian eksklusif bertemakan Warna Warni Hari Raya Latin Jazz Style yang akan berlangsung di BOBO KL pada 18 April 2026, bermula jam 8.30 malam.

Persembahan satu malam itu dijangka menyajikan pengalaman muzik yang unik apabila Ushera menggabungkan elemen Latin jazz dengan semangat perayaan Aidilfitri.

Turut mengiringinya ialah barisan pemuzik berbakat iaitu Ganesh Bala (piano), Omar Ibrahim Azmi (dram) dan Norman Rahman (bass).

Menurut Ushera, penonton bakal dihidangkan dengan alunan muzik yang kaya dengan variasi rentak dan emosi.

“Penonton akan dijamu dengan irama yang kaya, semangat perayaan, sedikit groove, sedikit swing dan semestinya kegembiraan Hari Raya. Ini merupakan persembahan satu malam sahaja, jadi jangan lepaskan peluang,” katanya.

Tiket berharga RM100 boleh didapati secara dalam talian dan jumlahnya adalah terhad.

Dalam perkembangan lain, Ushera atau nama penuhnya Nona Ushera terus konsisten menghasilkan lagu raya apabila tampil dengan karya ketiga selepas Suka Ria Raya (2017) dan Kembali (2021).

Lagu Warna Warni Hari Raya kali ini menyaksikan Ushera sendiri menulis lirik, manakala penerbitan dan komposisi diserahkan kepada Ganesh Bala.

Lagu tersebut mengetengahkan tema kepelbagaian dan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Menariknya, video muzik lagu berkenaan diarahkan oleh Arnaud Blondel, manakala aspek penampilan pula diperkukuh menerusi kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal, Syomir Izwa Gupta.

Ushera menjelaskan, lirik lagu tersebut dihasilkan secara santai agar mudah diingati, namun tetap mengekalkan elemen segar yang mampu menarik perhatian pelbagai lapisan pendengar.

“Lagu ini berkisar tentang kemeriahan raya, suasana di kampung, busana baharu dan nilai kebersamaan. Ia juga membawa mesej perpaduan dan persahabatan dalam masyarakat majmuk,” ujarnya.

Tambahnya, penghasilan lagu tersebut bukan bertujuan bersaing, sebaliknya untuk menyemarakkan kembali tradisi lagu raya yang semakin mendapat tempat sejak kebelakangan ini.

Video muzik Warna Warni Hari Raya telah dilancarkan di YouTube pada 16 Februari lalu, manakala lagu tersebut turut tersedia di platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music.

Untuk rekod, Ushera sebelum ini pernah menghasilkan album Semalam Di Malaya pada 2016 yang memuatkan beberapa lagu seperti Bunga Raya, Dunia Asmara dan Jikalau Abang Merindu, yang menampilkan gaya muzik asli dengan sentuhan moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN