Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menerusi Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FABA) mengambil inisiatif memperkasakan usahawan Bumiputera melalui penganjuran program ‘Empowering Digital Business’.
Program yang berlangsung di Kem Sungai Besi itu diadakan dengan kerjasama Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) bagi memberikan pendedahan praktikal mengenai strategi pemasaran digital dan pengurusan kewangan.
Seramai 150 peserta dalam kalangan ahli BAKAT menyertai sesi interaktif yang memfokuskan kepada penggunaan platform popular seperti TikTok, Instagram, Telegram dan WhatsApp for Business untuk menjana pendapatan secara sistematik.
Selain aspek pemasaran, program ini turut menekankan kepentingan literasi kewangan termasuk penyediaan rekod akaun, pengiraan untung rugi, serta pemahaman mengenai tanggungjawab cukai.
Menurut kenyataan UPTM, inisiatif ini disasarkan kepada golongan B40 dalam komuniti tersebut bagi membantu mereka meningkatkan taraf hidup melalui ekonomi digital seperti jualan dalam talian dan penciptaan kandungan.
Penganjuran program ini juga selaras dengan matlamat SULAM (Service-Learning Malaysia University for Society) yang menekankan kelestarian program berimpak jangka panjang kepada masyarakat.
UPTM merancang untuk meneruskan siri bimbingan lanjutan ini bagi memastikan usahawan dalam kalangan keluarga Angkatan Tentera terus kompetitif dan mampu menyumbang kepada ekosistem ekonomi digital negara.










