KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah,menjelaskan sehingga kini masih belum ada kata putus mengenai penglibatan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhubung penglibatannya dalam sebuah telefilem.
Difahamkan, telefilem yang dimaksudkan adalah terbitan Usanita bagi platform UTV.
Menurut Bella, dia memahami keprihatinan serta tanda tanya yang dibangkitkan oleh peminat berhubung perkara tersebut, namun menjelaskan perkara itu sebenarnya masih belum mendapat kata putus.
“Saya ingin menjelaskan perkara yang timbul. Ramai peminat bertanya dan menyatakan keprihatinan mengenai isu ini.
“Sebenarnya, belum ada perbincangan lanjut mengenai perkara ini. Pihak Amber hanya menjawab pertanyaan daripada rakan media tentang projek Amber bersama BASS.
“Tiada sebarang keputusan dibuat yang melibatkan YB Syed Saddiq dalam sebarang telefilem. Setakat ini, hanya saya, insya-Allah,” ujarnya di media sosial.
Dalam masa sama, Bella menegaskan bahawa dia dan pihak Amber atau Usanita memahami kedudukan Syed Saddiq sebagai seorang ahli politik yang mempunyai tanggungjawab utama terhadap kerjayanya.
“Dalam situasi ini, kami memahami kedudukan YB sebagai ahli politik serta peranan utamanya dalam melaksanakan tugas hakiki,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Bella menafikan wujud sebarang perbincangan mengenai penglibatan tunangnya dalam bidang lakonan buat masa ini.
“Memang tiada sebarang perbincangan melibatkan YB untuk berlakon. Dalam pada itu, kami amat menghargai sokongan semua pihak dalam situasi ini,” katanya.
Semalam, pihak media melaporkan Bella mengakui ada menerima tawaran untuk berlakon bersama tunangnya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi projek terbitan Usanita bagi platform UTV.
Bella berkata, dia teruja dengan peluang berkenaan memandangkan ia menjadi kolaborasi pertamanya bersama syarikat terbabit, namun tarikh rasmi penggambaran masih belum ditetapkan.










