PETALING JAYA: Lega konsert jelajah di empat bandar negara China telah selesai, penyanyi, Shila Amzah menganggap perjalanan seninya tidak semudah yang digambarkan apatah lagi dirinya seorang artis bebas.
Kata Shila, dia masih mengharapkan sokongan orang ramai untuk konsert dan albumnya meskipun sudah menapak dalam industri muzik selama 25 tahun.
“Pada akhirnya, saya masih seorang artis independen, dan saya sangat mengharapkan sokongan kalian untuk album dan konsert.
“Selepas 25 tahun, saya masih ada perjuangan saya sendiri,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Patah Seribu itu mengakui dirinya pernah terfikir untuk melepaskan segala kejayaan yang telah dimiliki, namun berasa tidak berbaloi.
“Kadang-kadang rasa ingin berputus asa itu ada, tetapi sayang kalau saya mengalah sekarang setelah semua yang telah saya usahakan.
“Tambahan pula, saya bermula dari kosong dari segi kewangan, saya rasa sangat bersyukur. Alhamdulillah,” ujarnya.
Coretan tersebut dikongsinya selepas Shila melengkapkan siri jelajah Shila Amzah Livehouse Tour 2026 dengan lokasi terakhir di Nanjing, China.
Turut berkongsi perkembangan konsert Resonance: Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories pada 9 Mei ini, Shila menggunakan dananya sendiri untuk memastikan segala aspek produksi berjalan dengan baik.
“Bulan Mei ini konsert saya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), mohon bantu saya. Kalian selalu tanya saya bila mahu buat konsert di Malaysia. Tengok tiket masih ada lagi.
“Saya buat persembahan sambil kumpul duit untuk bagi yang terbaik dalam konsert kali ini sebab saya memang terlibat dalam semua aspek produksi,” katanya.
Untuk info, Shila mula menempa nama di China
selepas menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai seterusnya mencipta fenomena tersendiri sehingga ke hari ini.










