Perlukah kami memakai pakaian koyak untuk orang percaya yang kami sedang susah?- Norish Karman - Utusan Malaysia

Perlukah kami memakai pakaian koyak untuk orang percaya yang kami sedang susah?- Norish Karman

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Norish Karman, 52, meluahkan rasa sedih dan kecewa apabila masih ramai pihak tidak mempercayai kesusahan hidup yang dilaluinya bersama lapan orang anak selepas diuji dengan masalah kesihatan dan kemerosotan kewangan.

Menurut Norish, persepsi masyarakat yang menyangka  dia hidup mewah menyebabkan ada yang menuduh dirinya menipu tentang keadaan sebenar.

“Saya memang pernah berniaga dan pernah mempunyai restoran sebelum ini, tetapi apabila COVID-19 melanda, kami terpaksa menutup perniagaan tersebut. Sejak itu, kehidupan kami berubah sepenuhnya.

“Sebagai ibu tunggal, saya diuji dengan tanggungjawab menjaga anak-anak, diuji dengan masalah kewangan, dan juga kehilangan peluang pekerjaan dalam bidang lakonan kerana saya sudah berhijab.

“Namun begitu, ada yang tidak percaya. Ada yang kata saya menipu sakit, sedangkan ini adalah ujian sebenar yang saya lalui. Orang lihat saya seperti hidup senang, tetapi hakikatnya tidak,” katanya di sesi siaran langsung Tiktok selebriti dan usahawan popular, Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.

Akui Norish, keadaan menjadi semakin sukar apabila dirinya sakit sehingga menjejaskan sumber pendapatan keluarga.

“Rumah saya sudah lama tidak berbayar dan hampir kena halau, bil elektrik juga tertunggak. Semua ini berlaku apabila saya sakit dan ekonomi keluarga merudum.

“Ada yang tanya kenapa tidak minta bantuan daripada bekas suami? Dia juga uzur dan kini berusia 78 tahun.

“Kami  juga pernah meminjam wang daripada orang lain. Kadang-kadang orang kata mereka membantu, tetapi apabila berlaku perselisihan, wang itu diminta semula dan akhirnya menjadi hutang,” jelasnya.

Dalam masa sama, Norish turut berdepan dengan kecaman dan kata-kata negatif segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya membesarkan ramai anak.

“Ada yang mengata saya, sudahlah janda, anak pula ramai. Mereka kata ‘padan muka, siapa suruh bela anak ramai’. Macam-macam orang cakap. Hakikatnya, saya tidak pernah merasai kemewahan seperti yang disangka, tetapi saya tidak berdendam.

“Kalau benar saya ada banglo besar, kereta mewah dan hidup senang, buat apa saya hendak nafikan? Tetapi realitinya, orang seolah-olah tidak percaya apa yang sedang kami lalui,” katanya lagi.

Walaupun berdepan tekanan hidup, Norish bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan percaya bahawa segala yang berlaku adalah ujian daripada Allah.

“Ada orang tidak percaya kami hidup berhutang kerana wajah kami seperti orang berada. Tetapi saya bersyukur, apabila orang berkata begitu, bermakna Allah masih menutup aib kami. Perlukah kami memakai pakaian koyak untuk orang percaya yang kami sedang susah?

“Apabila kita melihat orang lain diuji, sebenarnya itu juga ujian untuk kita. Sebagai ibu tunggal, saya memilih jalan yang halal walaupun banyak rintangan. Saya hanya lakukan apa yang mampu. Jika ada peluang berlakon, menyanyi atau mengacara, saya akan teruskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norish turut berkongsi mengenai sikap anak-anaknya yang banyak memahami keadaan keluarga.

“Manda bagi saya seorang anak yang sangat baik, begitu juga dengan anak-anak saya yang lain. Mereka tidak pernah meminta perkara yang bukan-bukan, tidak meminta pakaian mahal atau keluar bersiar-siar seperti orang lain.

“Mereka sentiasa bersama saya dan memahami keadaan kami. Itu yang membuatkan saya terus kuat untuk meneruskan kehidupan walaupun diuji dengan pelbagai kesusahan,” katanya.

Terdahulu, Aliff Syukri menghulurkan sumbangan berbentuk gaji berjumlah RM20,000 kepada Norish dan lapan anak-anaknya hasil melakukan jualan siaran langsung selama dua jam di Tiktoknya semalam.

Difahamkan, tindakan Aliff Syukri itu adalah sebagai sebahagian usaha dia dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid untuk membantu Norish dan anak-anaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN