PETALING JAYA: “Papa benar-benar minta maaf jika pernah membuatkan kamu rasa tidak dipedulikan. Tetapi ketahuilah, papa nampak kamu.”
Demikian kata pelakon, Norman Hakim memujuk anak bongsunya bersama bekas isteri, Abby Abadi, Maria Danisha rentetan luahannya di media sosial, baru-baru ini.
Kata Norman, dia cakna dengan setiap usaha keras anak perempuannya itu demi meraih kejayaan cemerlang dalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Papa nampak usaha, kekuatan dan kesabaran kamu dalam memberikan yang terbaik untuk SPM 2025 kamu.
“Tahniah yang tidak terhingga atas keputusan kamu yang cemerlang! Setiap usaha kamu, termasuk perjuangan senyap yang tiada siapa nampak benar-benar telah membuahkan hasil.
“Kamu memang layak untuk saat ini, lebih daripada yang kamu sangka, sayang,” katanya di Instagram.
Tambah Norman, sebagai bapa, dia akan sentiasa bersama anak-anaknya dan memberikan sokongan terhadap mereka.
“Awak tak perlu tanggung semuanya seorang diri. Perasaan awak penting, usaha awak penting, papa akan sentiasa ada untuk awak,” tambahnya.
Terdahulu, Maria berkongsi luahan hatinya yang mendakwa dirinya seakan tersisih selepas meraih keputusan cemerlang dalam SPM sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, dalam satu hantaran lain, dia menegaskan perkongsian tersebut tiada kaitan dengan isu keluarganya yang berlaku ketika ini.










