Legasi Peterpan kembali menggegar menerusi konsert ‘The Journey Continues’ 11 Julai ini - Utusan Malaysia

Legasi Peterpan kembali menggegar menerusi konsert ‘The Journey Continues’ 11 Julai ini

The Journey Continues
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas mencetuskan fenomena besar di Indonesia, gelombang nostalgia lagu-lagu ikonik kumpulan Peterpan kini bersedia melanda peminat di Malaysia menerusi konsert ‘The Journey Continues’.

Dianjurkan oleh Pulse Project Asia, konsert yang dinantikan itu dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2026 bertempat di Idea Live Arena, Malaysia.

Malam tersebut bakal menghidupkan semula karya-karya malar hijau seperti ‘Semua Tentang Kita’ dan ‘Mimpi Yang Sempurna’ yang pernah menjadi latar perjalanan hidup jutaan peminat.

Menariknya, barisan vokalis hebat telah dipilih untuk memberikan interpretasi emosi tersendiri terhadap lagu-lagu tersebut. Antara nama besar yang bakal memeriahkan pentas termasuklah vokalis kumpulan Kotak, Tantri dan bintang muda berbakat dari Indonesia, Rony Parulian.

Turut mewakili Malaysia dalam konsert ini ialah penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, yang bakal membawakan sentuhan vokal kontemporarinya ke dalam naratif Peterpan pada malam tersebut.

Pihak penganjur turut memberi bayangan mengenai pengumuman dua lagi nama besar sebagai kejutan buat penonton, sekali gus menjadikan pengalaman konsert ini lebih dinamik dan sukar dijangka.

“Ini bukan sekadar konsert, ini adalah satu perjalanan untuk menghidupkan semula rasa yang pernah menyatukan kita semua melalui muzik,” kata wakil penganjur.

Selain sebagai acara hiburan, penganjuran ini juga bertujuan memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia serta menyokong pertumbuhan industri kreatif serantau.

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 April 2026 bermula jam 1.00 petang menerusi platform Ticket2u dan Fantopia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN