Kenapa perlu menunggu lebih ramai jadi mangsa sebelum tindakan tegas diambil? - Zara Zya

Kenapa perlu menunggu lebih ramai jadi mangsa sebelum tindakan tegas diambil? – Zara Zya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Zara Zya, meluahkan kebimbangan serius terhadap isu pemandu mabuk yang disifatkan masih berulang tanpa penyelesaian tuntas.

Menerusi hantaran di Threads, Zara atau nama sebenarnya Zainur Razia Mohd Zainuddin, 41, menegaskan bahawa tindakan lebih tegas perlu diambil bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus meragut nyawa individu tidak bersalah.

Menurutnya, setiap kejadian kemalangan melibatkan pemandu mabuk pasti memberi kesan kepada orang awam yang tidak berdosa.

“Seriuslah, sampai bila kita mahu biarkan isu ini terus berulang? Setiap kali berlaku, pasti ada nyawa tidak bersalah terkorban.

“Mereka yang keluar bekerja, dalam perjalanan pulang, malah yang sekadar lalu pun boleh menjadi mangsa akibat kecuaian orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Zara menggesa pihak berkuasa supaya memperketat undang-undang sedia ada serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih tegas dan konsisten.

“Undang-undang memang ada, tetapi jika masih longgar atau tidak dikuatkuasakan dengan tegas, isu ini tidak akan berakhir.

“Orang awam tidak merasa takut, denda pula tidak memberi pengajaran, manakala hukuman tidak cukup berat untuk membuat mereka berfikir panjang sebelum bertindak,” ujarnya.

Pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu turut menegaskan bahawa memandu dalam keadaan mabuk bukan satu kesilapan kecil, sebaliknya satu pilihan berbahaya yang boleh meragut nyawa.

“Itu satu pilihan, dan pilihan itu mampu menghancurkan kehidupan orang lain.

“Kenapa perlu menunggu lebih ramai menjadi mangsa sebelum tindakan tegas diambil?” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menuntut agar undang-undang diperketat dan penguatkuasaan diperkasakan tanpa sebarang kompromi demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Tindakan tidak bertanggungjawab di jalan raya boleh memusnahkan banyak kehidupan. Cukuplah sampai di sini,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN