Kalau tidak sayang, tidak gaduh - Ajai  - Utusan Malaysia

Kalau tidak sayang, tidak gaduh – Ajai 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik ketenangan yang sering dipamerkan di hadapan khalayak, Ajai sebenarnya memendam harapan besar terhadap sebuah hubungan yang pernah retak dalam keluarganya. 

Sebagai bapa, dia tidak sekadar memerhati dari jauh, sebaliknya terus berusaha menjadi penghubung antara anaknya, Ayu Nazirah, dan bekas isterinya, Nourul Depp, walaupun sedar perkara itu bukan mudah.

Mengulas isu hubungan antara Ayu Nazirah dan Nourul, Ajai tidak menafikan perkara tersebut menyentuh emosi banyak pihak, apatah lagi melibatkan ikatan darah antara ibu dan anak.

“Macam saya cakap, ibu dan anak ini memang subjek yang sensitif. Kita semua pun ada ibu bapa. Kadang-kadang ibu merajuk boleh lama, anak merajuk pun sama. Tapi sebagai bapa, saya sentiasa nasihatkan, macam mana pun dia tetap ibu dia,” katanya.

Tambahnya, nilai menghormati ibu bapa adalah perkara utama yang tidak boleh dikompromi walau dalam apa jua keadaan.

“Hormat terhadap orang tua itu adalah keutamaan. Walaupun bukan ibu bapa sekali pun, orang tua tetap perlu dihormati. Itu saya tekankan.

“Mungkin dua-dua itu perangai sama. Yang ini sensitif, yang itu pun sensitif. Jadi benda itu berlaku. Tapi pada saya, itu biasa. Dah darah, memang darah dia dalam Ayu dan darah Ayu pun dalam dia,” katanya tanpa berselindung.

Walaupun tidak mahu terlalu mencampuri urusan peribadi anaknya yang kini sudah dewasa, Ajai tetap memainkan peranan sebagai bapa dengan memberikan dorongan ke arah kebaikan.

“Ayu bukan budak-budak lagi, dia sudah matang. Saya tak terlalu masuk campur, tapi sebagai parent kita kena push benda yang baik. Kita cerita kebaikan mak dia, kebaikan bapak dia. Satu hari nanti dia akan buka hati itu,” jelasnya.

Malah, Ajai turut mendedahkan bahawa jauh di sudut hati, Ayu sebenarnya masih menyimpan rasa rindu terhadap ibunya, walaupun tidak diluahkan secara terus.

“Saya selalu jumpa Ayu. Ada masa dia cakap nak call mama, tapi dia tak nak bercakap. Jadi kita faham, perasaan itu ada. Cuma belum sampai masa.

“Ini mereka bergaduh ini, sebenarnya kalau tak sayang, tak gaduh. Sebab kalau tak sayang, dia tak ambil peduli. Jadi pada saya, masih ada rasa itu. Kita doakan saja yang baik-baik,” katanya penuh makna.

Isu tidak berduet dengan Nourul

Dalam masa yang sama, Ajai turut  menjelaskan mengenai keputusannya yang tidak dapat memenuhi pelawaan untuk berduet bersama Nourul dalam sebuah konsert Mei ini.

Menurutnya, faktor utama adalah komitmen kerja yang sudah lama diatur dan tidak dapat dielakkan.

“Sebenarnya saya ada komitmen. Untuk berduet untuk kali ini, saya rasa saya tak dapat tampilkan diri sebab ada komitmen-komitmen yang saya tak boleh elak. Lepas itu, mungkin kalau ada rezeki lain. Mana tahu satu hari kalau boleh ada Ajai dan Nurul konsert, yang saya rasa itu lebih afdhal,” katanya jujur.

Ajai bagaimanapun tidak menutup ruang untuk bekerjasama pada masa depan, malah menyifatkan segala yang berlaku antara mereka sebelum ini sebagai perkara yang telah berlalu.

“Pada saya, masalah lepas terlepas. Semua orang dah move on. Jadi untuk bagi komitmen pun saya tak ada masalah. Cuma kali ini saya terikat dengan benda-benda lain. Saya memang terbuka,” ujarnya lagi.

Kesibukan Ajai kini banyak tertumpu kepada persiapan konsert reunion kumpulan Exists yang bakal berlangsung dalam dua fasa besar pada Ogos dan Oktober, sekali gus menuntut komitmen penuh daripadanya sebagai antara tulang belakang produksi.

Dalam pada itu, Ajai turut melahirkan rasa gembira melihat kemunculan semula Nourul dalam industri muzik, malah percaya penyanyi itu masih mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik perhatian peminat.

“Saya doakan untuk dia lakukan yang terbaik untuk konsert ini. Bila dia come back ini, itu petanda yang baik. Komitmen dia masih ada dan lagu-lagu dia pun banyak yang hits. Malah sebelum duet pun, dia sudah ada lagu-lagu yang saya hasilkan dan masih relevan sampai sekarang,” katanya.

Menurut Ajai lagi, cabaran terbesar bagi mana-mana artis yang kembali aktif adalah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri dan generasi pendengar yang berbeza.

“Bila kita nak come back, kita sebenarnya bermula semula dari kosong. Walaupun kita pernah establish dulu, sekarang ini penonton adalah penonton yang baharu. Peminat lama mungkin sudah 40-an, ada kuasa beli tapi bagaimana nak tarik mereka untuk ingat semula, itu perlukan strategi dan pemasaran  yang betul,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN