PETALING JAYA: “Saya takut sangat nak tulis di Threads berkenaan dengan solat, kebaikan dan peringatan untuk semua. Orang tahu karakter saya macam mana.”
Demikian kata pelakon, Syatilla Melvin mengakui tidak yakin untuk berkongsi sebarang petikan berunsur Islamik kerana tidak sesuai dengan karakternya.
Menurut Syatilla, dia ingin mengambil peluang untuk menjadikan platform Threads sebagai tempat untuk berkongsi peringatan dan nasihat yang menuju ke arah kebaikan.
“Tapi maklum balas yang saya dapat lepas muat naik sangat positif dan luar biasa. Terima kasih hampa (kalian) semua!
“Saya langsung tak pandai susun ayat dengan betul untuk bercakap, Sam selalu kecam saya. Tetapi saya cuba untuk tulis peringatan ikhlas untuk semua,” tulisnya di Threads.
Dalam masa sama, isteri kepada pelakon, Shaheizy Sam itu menganggap segala peringatan yang dikongsikan juga menjadi pendorong untuk dirinya perbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Saya jauh sekali dari orang-orang soleh, tapi setiap hari paksa diri jadi orang baik. Sungguh-sungguh punya paksa, tak tipu. Mungkin Threads ini boleh jadi lubuk pahala bersama,” tulisnya.
Syatilla berkata demikian selepas hantarannya yang berkongsi petikan berkenaan solat meraih respons positif dalam kalangan pengikutnya di Threads.
“Pekerjaan sebenar manusia di dunia adalah menunggu solat lima waktu,“ kongsinya.










